Berita Auto

Ferrari Daytona SP3 – Supercar V12 Dengan Rekaan Retro

Ferrari telah mendedahkan Daytona SP3, model edisi terhad terbaharu dalam siri Icona selepas Monza SP1 dan Monza SP2. Inspirasi untuk model ini terlahir daripada kemenangan Ferrari dalam perlumbaan 24 Hours of Daytona 1967, di mana dua buah Ferrari 330 dan sebuah 412 melintasi garisan penamat pada kedudukan 1-2-3.

Enjin naturally aspirated 6.5-liter V12 yang digunakan oleh model ini ‘dipinjam’ daripada 812 Competizione, namun ia telah ditala bagi menghasilkan 828 hp dan 697 Nm. Kuasa yang tinggi ini dicapai menerusi penggunaan rod penyambung titanium, pin piston dengan saduran Diamond-Like Coating dan sistem ambilan udara yang direka semula.

Ia mempunyai redline 9,500 rpm dan kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi klac berkembar F1 tujuh kelajuan. Ini membolehkan Daytona SP3 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.85 saat dan dari 0 hingga 200 km/h dalam 7.4 saat. Kelajuan maksimum pula melebihi 340 km/j.

Menurut Ferrari, reka bentuk model ini diinspirasikan daripada model-model retro seperti 330 P4, 350 Can-Am dan 512 S. Ia menampilkan badan jenis targa dengan bumbung hard top yang boleh dibuka, pintu butterfly dengan kotak udara untuk menyalurkan udara ke arah radiator sisi, serta cermin sisi yang diletakkan di atas dapra hadapan. Di belakang pula, terdapat bilah-bilah melintang seperti yang ada pada Testarossa.

Walaupun hanya menggunakan elemen-elemen pasif, Daytona SP3 dikatakan jentera Ferrari yang paling aerodinamik setakat ini. Bukan itu sahaja, casisnya juga diperbuat menggunakan bahan-bahan komposit aeronautik, termasuk gentian karbon T800 untuk tab dan gentian karbon T1000 untuk pintu. Kevlar turut digunakan pada beberapa bahagian yang terdedah kepada impak.

Di dalam, tempat duduk diintegrasikan ke dalam casis untuk memberikan posisi pemanduan yang lebih rendah berbanding model-model lain dalam siri Icona. Kotak pedal boleh laras membolehkan pemandu mencari posisi yang paling sesuai, manakala stereng Human-Machine Interface (HMI) adalah sama seperti yang digunakan oleh SF90 Stradale, Roma dan 296 GTB. Maklumat penting pula dipaparkan menerusi skrin melengkung berukuran 16 inci.

Previous post

Industri Automotif Malaysia Tunjuk Tanda Pulih Pada Oktober 2021

Next post

Volkswagen ID.5 Didedahkan; Coupé SUV Elektrik Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *