Motosikal / Lain Lain Roda

Triumph Tiger Sport 660 Diperkenalkan Dengan Enjin Triple

Triumph Motorcycles telah memperkenalkan motosikal kembara saiz pertengahan baharunya iaitu Tiger Sport 660. Merupakan model ‘triple’ pertama yang menyertai segmen tersebut, ia bakal bersaing dengan model-model seperti Kawasaki Versys 650 dan Suzuki V-Strom 650XT yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini.

Tiger Sport 660 dikuasakan oleh enjin sejukan cecair, tiga silinder sebaris bersesaran 660 cc yang diambil daripada Trident 660. Enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5 itu menjana 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm pada 6,250 rpm, menjadikan Tiger Sport 660 lebih berkuasa berbanding jentera Suzuki itu.

Penghantaran kuasa diuruskan oleh sistem pengurusan enjin yang sofistikated yang mempunyai pendikit Ride-by-Wire, manakala transmisi enam kelajuan yang digunakan mempunyai nisbah gear yang dioptimumkan untuk keseronakan menunggang.

Menurut Triumph, Tiger Sport 660 seimbang dan senang untuk dikawal, dengan adanya bar hendal aluminium dan pelana berkembar setinggi 835 mm. Bukan itu sahaja, rekaan badan motosikal ini juga langsing, sekaligus memudahkan penunggang mengawalnya pada kelajuan rendah.

Triumph Tiger Sport 660

Untuk sistem suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork terbalik Showa 41 mm, manakala di belakang pula terdapat monoshock Showa dengan pelarasan pra-muatan hidraulik untuk tunggangan solo, dengan pembonceng atau dengan pembonceng dan bagasi.

Jentera ini didatangkan dengan rim aluminium berukuran 17 inci yang dibalut tayar Michelin Road 5, manakala sistem breknya pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera tunggal 255 mm di belakang, serta ABS dwi-saluran.

Kebolehan kembaranya diperkuatkan lagi menerusi tangki bahan api berkapasiti 17 liter serta cagak terintegrasi yang membolehkan penunggang memasang pannier pada bahagian belakang. Turut ditawarkan sebagai opsyen adalah top box yang menawarkan ruang penyimpanan sebesar 47 liter, cukup untuk memuatkan dua buah topi keledar muka penuh.

Dari segi elektronik, Tiger Sport 660 didatangkan standard dengan mod tunggangan Rain dan Road, Traction Control yang boleh dinyahaktifkan dan klac Slip & Assist yang boleh mengurangkan kepenatan penunggang. Turut disertakan adalah paparan TFT di mana semua maklumat penting dipaparkan dalam rekaan yang jelas. Skrin ini boleh disambungkan dengan sistem My Triumph, membolehkan penunggang menggunakan sistem navigasi, GoPro dan pemain media.

Triumph Tiger Sport 660

Tiger Sport 660 akan memasuki pasaran awal tahun hadapan, dengan harga bermula dari £8,450 (RM48,060) di United Kingdom.

Previous post

Ducati Multistrada V2 Hadir Sebagai Pengganti 950

Next post

Pandu Uji: Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan - Bagai Suntikan Adrenalin

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *