Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

JMC Vigus Pro 4X4 Dilancarkan Pada Harga RM98,888

Seperti yang dijanjikan minggu lalu, Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) mengumumkan kemasukannya ke segmen trak pikap menerusi pelancaran JMC Vigus Pro serba baharu. Model ini ditawarkan dalam satu varian sahaja pada harga RM98,888 di Semenanjung Malaysia dan RM108,888 di Sabah dan Sarawak.

Dipasang di kilang Tan Chong Motor di Serendah, Selangor, Vigus Pro kini tersedia dan boleh dipandu uji di semua 13 pengedar ATM di seluruh negara yang turut merangkumi rangkaian 13 bengkel perkhidmatan selepas jualan.

JMC Vigus Pro

Dari segi penampilan, bahagian hadapan Vigus Pro dikatakan mengambil inspirasi daripada ekspresi wajah harimau. Rekaan hadapan ini diserlahkan lagi menerusi lampu utama yang langsing, lampu nyalaan siang LED berbentuk C pada bahagian bampar serta pelindung bawah bampar.

Profil sisi menampilkan over fender yang didatangkan dalam warna badan, pemijak sisi, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik dan rim aloi dua tona berukuran 16 inci. Di belakang pula anda akan menemui sports bar bersama lampu brek ketiga, serta pemijak kaki yang disepadukan dengan bampar belakang untuk memudahkan akses ke ruang kargo.

Di dalam, trak pikap ini hadir dengan pelbagai kelengkapan moden seperti stereng multi-fungsi yang dibalut kulit, paddle shifter, serta tuil gear elektronik yang memudahkan pemandu menukar gear. Sistem infohibur pula merangkumi skrin sentuh warna berukuran lapan inci dengan fungsi Bluetooth, pemain video MP5 dan paparan kamera undur.

Di bawah hud, terdapat enjin turbodiesel Puma 2.0-liter dengan sistem suntikan bahan api commonrail tekanan tinggi, pengecas turbo geometri boleh ubah (VGT), intercooler dan EGR. Ini membolehkannya menghasilkan 141 PS pada 3,600 rpm dan 340 Nm dari 1,500 hingga 2,600 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan keluaran ZF. Gabungan ini dikatakan mampu memberikan tahap penggunaan bahan api serendah 7.8 l/100 km.

Sistem suspensi Vigus Pro terdiri daripada topang double wishbone dengan bar penstabil pada bahagian hadapan dan leaf spring pada bahagian belakang. Dengan kerangka jenis ladder, ia mampu menampung muatan beban sehingga 850 kg.

Prestasi off-road trak pikap ini disumbangkan oleh sistem 4WD yang dibangunkan oleh BorgWarner yang membolehkan pemandu memilih mod 2WD, 4WD dan Low-Range 4WD dengan menerusi tombol kawalan. Selain itu, gandar belakang juga dilengkapi dengan Limited Slip Differential (LSD) Eaton.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan adalah Hill Descent Control, Hill Start Assist, ABS dengan Electronic Brake-Force Distribution (EBD) dan Electronic Stability Program dengan Traction Control.

Vigus Pro boleh didapati dalam empat warna iaitu coklat (Steady Brown), putih (Solid White), perak (Brilliant Silver) dan hitam (Glossy Black). Ia juga hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km.

Previous post

Hyundai Sonata N Line Night Edition Serba Hitam Bak Snake Eyes

Next post

Porsche Taycan Cross Turismo Tiba Di Malaysia - Harga Dari RM645k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *