Berita Auto

Tom’s Hasilkan Toyota GR Supra Sebagai Tribut Kepada Paul Walker

Dalam sedar tak sedar, sudah hampir lapan tahun Paul Walker meninggal dunia namun legasi bintang Fast & Furious itu terus hidup dalam industri automotif. Terbaru, Tom’s yang merupakan salah satu syarikat talaan rasmi Toyota telah menghasilkan GR Supra yang diinspirasikan daripada Toyota Supra A80 putih yang muncul dalam babak terakhir Fast & Furious 7.

Dibangunkan dengan kerjasama majalah fesyen dari Jepun iaitu Safari, GR Supra ini mungkin tampak bersahaja namun ia sebenarnya telah diberikan penambahbaikan menyeluruh yang bukan sahaja membuatkan ia tampil lebih agresif, malah lebih berkuasa.

Bermula dengan penampilan, Tom’s menggunakan kit badan yang merangkumi splitter hadapan dan spoiler tinggi pada bahagian belakang. Ia juga didatangkan dengan rim BBS LM berukuran 20 inci seperti yang terdapat pada Supra milik Paul, dengan set coilover daripada KW untuk ‘stance’ yang lebih agresif Gambar ruang dalaman tidak disediakan namun menurut Tom’s, jentera ini mempunyai upholsteri kulit serta trim gentian karbon pada papan pemuka dan panel pintu.

Di bawah bonet, enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris keluaran BMW itu telah dinaik taraf dengan Tom’s Power Box, sekaligus menyaksikan kuasanya meningkat dari 382 hp kepada 420 hp. Prestasi kereta coupe sport ini tidak diketahui namun ia sudah pastinya lebih pantas daripada versi standard yang mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat.

Menurut Safari, Tom’s akan menghasilkan tiga unit GR Supra Paul Walker dan setiap satu dijual pada harga 12.97 juta yen (kira-kira RM487,400). Tidak murah, namun jauh lebih ‘mampu milik’ jika dibandingkan dengan Supra milik mendiang pelakon itu yang dilelong baru-baru ini.

Oleh sebab bilangannya yang terhad, GR Supra ini akan ditawarkan menerusi sistem loteri, bermakna hanya mereka yang betul-betul bertuah berpeluang memilikinya.

Previous post

Lima Sebab Kereta Sekerap Tidak Akan Berlaku Di Malaysia

Next post

Jualan Perodua Meningkat 102% Pada September 2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *