Bisnes

Proton Saga Mula Dipasang Di Pakistan, Akan Diikuti Oleh X70

Proton mengumumkan bahawa Proton Saga kini mula dipasang di kilang produksi baharu milik Al-Haj Automotive di Karachi, Pakistan. Saga, yang merupakan model pertama Proton yang dipasang secara tempatan di negara itu, dilancarkan secara rasmi oleh Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi dalam satu majlis yang diadakan pada 13 Oktober lalu.

Menurut Proton, kilang yang dibina dengan kos mencecah $20 juta (RM83 juta) itu mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 25,000 unit. Ini dikatakan kritikal dalam perancangan Proton untuk berkembang dalam pasaran eksport pada masa hadapan.

Hilal Khan Alfridi, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Al-Haj Automotive berkata, “Kejayaan pemasangan Proton Saga di Pakistan merupakan kemuncak kerja keras dan usaha yang tidak kenal penat lelah oleh Proton, keseluruhan pasukan Al-Haj dan pembekalnya.”

“Walaupun dengan segala kesukaran dalam penguatkuasaan menangani Covid-19, kami terus berusaha untuk membina kilang baharu dan dengan itu kami berkeyakinan ia akan mencatatkan piawaian industri baharu dan membolehkan kami untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang menepati piawaian kualiti antarabangsa yang ditentukan oleh pihak Proton,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, Proton turut mengumumkan yang Proton X70 bakal menjadi model kedua yang akan dipasang oleh Al-Haj Automotive dengan jangkaan pelancaran dijadualkan pada Disember tahun ini.

X70 pertama kali dilancarkan di Pakistan pada Disember 2020 sebagai model CBU. SUV segmen C itu mendapat liputan meluas di negara itu kerana gabungan rekaan, teknologi dan ciri keselamatan yang ditawarkan.

Sebelum bermulanya operasi pemasangan tempatan, sebanyak 154 unit terakhir X70 telah dihantar pada 17 Oktober lalu, menjadikan jumlah eksport model CBU ke negara tersebut sebanyak 602 unit.

“Pihak Al-Haj telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih daripada 2,000 unit tempahan bagi X70, jadi kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan kerana kepercayaan kepada produk dan juga kesabaran dan bertimbang rasa akan situasi yang menyebabkan kelewatan dalam penghantaran kenderaan mereka.”

Previous post

Honda CR-V Black Edition Dilancarkan - RM161,913

Next post

VOTY 2021//Vehicle of the Year 2021 – Honda City RS

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *