Bisnes

Proton Kembali Bangkit, Catat Jualan Lebih 10,000 Unit Pada September

Proton mencatat jualan sebanyak 10,380 unit bagi September 2021, iaitu bulan pertama di mana industri automotif beroperasi sepenuhnya berikutan perlonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dengan angka ini, syarikat itu mengekalkan kedudukan kedua dalam pasaran Malaysia.

Pada masa yang sama, pegangan pasaran dianggarkan sekitar 23.9% berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit. Sementara itu, pegangan pasaran bagi 2021 berada pada 23%, berbanding 20.7% untuk keseluruhan tahun lalu.

Menurut Proton, prestasi jualannya pada September dipacu oleh Saga dengan jualan mencecah 3,907 unit pada bulan lalu. Prestasi barisan SUV pula terus kekal utuh apabila X50 dan X70 mengungguli segmen masing-masing dengan penyerahan sebanyak 2,431 dan 1,577 unit.

Walaupun bahagian produksi terkesan oleh kekurangan bekalan komponen, Proton masih mampu untuk menyerahkan 1,440 unit Persona dan 749 unit Iriz (termasuk Iriz Active). Secara keseluruhan, 27,312 unit SUV telah dijual oleh syarikat pada tahun 2021, bersamaan 37.4% jualan keseluruhan tahunan syarikat sebanyak 73,017 unit.

“Kami amat berpuas hati dengan pencapaian baik Proton pada bulan September. Sebenarnya, kami mampu untuk menjual lebih dari 10,380 unit yang diperolehi, tetapi konteks harus diberikan kepada prestasi kami kerana Malaysia dalam proses pemulihan pandemik yang masih lagi memberi kesan kepada pembekal-pembekal industri automotif,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Tambah Roslan lagi, Proton akan menumpukan usaha untuk menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan yang telah mebuat tempahan dalam tiga bulan terakhir ini. Ini bagi membolehkan syarikat itu melakukan lebih banyak jualan pada tahun hadapan, di samping maju ke hadapan dengan perancangan untuk meluaskan rangkaian produk untuk pasaran tempatan dan eksport.

Previous post

Honda Civic Type R Generasi Baharu Diacah

Next post

Ducati Multistrada V2 Hadir Sebagai Pengganti 950

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *