Bisnes

Jualan Perodua Meningkat 102% Pada September 2021

Industri automotif negara terus menyaksikan pemulihan sejak pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Bagi Perodua, syarikat itu menyaksikan penghantarannya meningkat untuk tiga bulan berturut-turut dengan catatan 14,160 unit pada September, menunjukkan peningkatan sebanyak 102% berbanding 6,988 unit pada Ogos.

“Rangkaian bekalan automotif telah menunjukkan peningkatan tetapi masih belum mencapai potensi yang sepenuhnya. Kami akan terus berusaha bersama-sama para pembekal dan pengedar kami untuk meningkatkan keselamatan dan produktiviti,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menjelaskan bahawa pertumbuhan secara beransur-ansur dalam pengeluaran dan jualan disertakan dengan langkah-langkah pengawasan kualiti yang ketat di dalam operasi Perodua, adalah untuk memastikan kepuasan para pelanggannya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang terus bersabar kerana kami kini sedang meningkatkan pengeluaran kami,” kata Dato’ Zainal.

Daripada perspektif setakat tahun ini, Perodua menjual 119,093 kenderaan antara Januari dan September 2021 berbanding 145,012 pada tempoh yang sama tahun 2020.

Dalam perbandingan suku kedua tahun ini dengan suku ketiga, penjualan merosot sebanyak 44.6% kepada 21,803 unit antara bulan Julai dan September daripada 39,381 kenderaan yang didaftarkan antara April dan Jun tahun ini. Ini berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Kedua di seluruh negara bermula 1 Jun 2021 dan berakhir secara berperingkat mulai 16 Ogos 2021.

“Suku keempat tahun 2021 memberikan ramalan yang lebih baik berbanding dua suku sebelumnya, terutama sekali peningkatan ketara dalam pengurangan kes COVID-19 di seluruh negara serta kadar vaksinasi yang menghampiri 90% populasi orang dewasa Malaysia,” kata Dato’ Zainal.

“Kami ingin mohon maaf di atas kesukaran yang dihadapi disebabkan oleh kelewatan penghantaran dan kami akan membantu para pelanggan kami dengan sebaiknya untuk memastikan kenderaan Perodua mereka dihantar secepat mungkin,” kata Dato’ Zainal.

Previous post

Tom's Hasilkan Toyota GR Supra Sebagai Tribut Kepada Paul Walker

Next post

UMW Toyota Tambah Baik Program Langganan Kinto One

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.