Berita Auto

Bajet 2022: SST Dilanjutkan, Tiada Duti Dan Cukai Untuk EV

Bajet 2022 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebentar tadi. Berikut adalah perkara-perkara melibatkan industri automotif yang telah disentuh dalam belanjawan tersebut:

Pengecualian Cukai Jualan

Pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2021 akan dilanjutkan hingga 30 Jun 2022 bagi terus memacu momentum sektor automotif.

Diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun 2020, inisiatif ini menyaksikan pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus bagi kenderaan CKD dan 50 peratus bagi kenderaan CBU.

Insentif Kenderaan Elektrik (EV)

Bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan, kerajaan akan memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik.

Bukan itu sahaja, pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga akan diberikan kepada EV, ditambah dengan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Kerusi keselamatan kanak-kanak

Bagi menggalakkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta, kerajaan akan mensubsidi 50 peratus atau sehingga 150 ringgit untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40. Inisiatif ini melibatkan perbelanjaan berjumlah RM30 juta dan dijangka dapat memanfaatkan sehingga 188 ribu keluarga B40.

Lesen kenderaan motor OKU

Dalam usahanya untuk meringankan kos sara hidup OKU, kerajaan akan menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU.

Previous post

Mercedes-Benz GLA Kini Dalam Versi CKD - Dari RM242,888

Next post

Butiran Toyota bZ4X Semua-Elektrik Didedahkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *