Berita Auto

Mercedes-Benz GLA Kini Dalam Versi CKD – Dari RM242,888

Selain A-Class sedan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperkenalkan GLA sebagai satu lagi model yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan di Pekan, Pahang. Seperti model sedan itu, crossover kompak ini juga boleh didapati dalam varian Progressive Line dan AMG Line.

Terletak di bawah bonet GLA 200 adalah enjin turbo 1.3-liter empat silinder yang menjana 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm dari 1,620 hingga 4,000 rpm. GLA 250, sebagai varian yang diposisikan lebih tinggi, dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm.

Dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, GLA 200 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j. GLA 250 pula memerlukan 6.9 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j, dengan kelajuan maksimum 240 km/j.

GLA 200 Progressive Line

Dari segi penampilan, kedua-dua varian boleh dibezakan menerusi kit badan dan rim. GLA 200 dilengkapi dengan kit badan Progressive Line dan rim aloi 18 inci, manakala GLA 250 pula tampil dengan kit badan AMG Line dan rim AMG berukuran 19 inci. Bukan itu sahaja, varian ini juga mempunyai sistem suspensi yang lebih rendah dengan talaan dinamik.

Di dalam, kedua-dua varian mendapat ciri pelarasan elektronik pada tempat duduk hadapan, Light and Sight Package, pelapik bumbung fabrik berwarna hitam dan sistem penyaman udara Thermotronic. GLA 250 mendapat ciri-ciri tambahan berupa balutan kulit nappa pada stereng, pedal penukar gear dan karpet AMG. Standard pada GLA 200 dan GLA 250 adalah tempat duduk belakang yang boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40.

GLA 250 AMG Line

Pakej keselamatan dan bantuan pemandu merangkumi Active Brake Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, Cruise Control, Easy-Pack Tailgate, Keyless Go, Pre-Safe, kamera undur, Tirefit, dan sistem pemantauan dalaman. GLA 250 turut didatangkan dengan Blind Spot Assist.

Untuk harga, GLA 200 Progressive Line berharga RM242,888 manakala GLA 250 AMG Line dijual pada harga RM278,888.

Previous post

Mercedes-Benz A-Class Versi CKD Dilancarkan - Dari RM219,888

Next post

Bajet 2022: SST Dilanjutkan, Tiada Duti Dan Cukai Untuk EV

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *