Berita Auto

Kia Forte Ditambah Baik Dengan Rekaan, Kelengkapan Baharu

Kia Cerato merupakan sedan segmen C yang agak popular di Malaysia satu ketika dahulu, terima kasih kepada rekaannya yang segak, kelengkapan yang serba cukup dan harga yang berpatutan.

Walaupun namanya kini agak tenggelam, sedan itu terus mendapat sambutan yang baik di negara-negara lain, termasuk di Amerika Syarikat, di mana ia dijual sebagai Forte. Untuk model tahun 2022, Forte telah ditambah baik dan ia kini tampil dengan rekaan yang lebih segar dan pelbagai kelengkapan terkini.

Bermula dengan bahagian luaran, Forte baharu tampil dengan penggayaan yang lebih agresif yang disampaikan menerusi rekaan lampu LED yang lebih tajam, gril hidung harimau generasi baharu, bukaan yang luas pada bahagian bampar, serta spoiler pada but. Rim didatangkan dalam saiz 16 atau 17 inci, bergantung pada varian.

Ruang kabin kini lebih canggih dengan kehadiran kluster instrumen LCD berukuran 4.2 inci serta ciri Apple CarPlay wayarles dan Android Auto pada semua varian yang dilengkapi dengan skrin infohibur lapan inci. Anda juga akan menemui brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Hold dan juga ciri penghidup enjin jarak jauh (Remote Start) pada sistem kunci pintar.

Sebagai varian yang diposisikan lebih tinggi dalam barisan, Forte GT dan GT Line mendapat skrin infohibur lebih besar yang berukuran 10.25 inci serta upholsteri kulit sintetik SynTex.

Di bawah hud, Forte ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Varian FE, LXS dan GT Line mendapat enjin MPI 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan Intelligent Continuously Variable Transmission. Enjin tersebut menghasilkan 147 hp dan 179 Nm.

Kia Forte 2022

Forte GT pula dikuasakan oleh enjin turbo 1.6-liter GDI dengan 201 hp dan 265 Nm. Ia didatangkan standard dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan namun pelanggan yang lebih gemar menukar gear sendiri boleh mendapatkan transmisi manual enam kelajuan.

Dari segi keselamatan pula, Kia telah menambah beberapa ciri baharu ke dalam sistem bantuan pemandu ADAS iaitu Standard Lane Following Assist (LFA), Highway Driving Assist (HDA), Navigation Based Smart Cruise Control-Curve (NSCC-C), Navigation Based Smart Cruise Control-Zone (NSCC-Z) dan Safe Exit Warning (SEW).

Kia Forte 2022

Sementara itu, ciri-ciri sedia ada seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dan Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA) pula diberi penambahbaikan.

Previous post

Porsche Taycan Cross Turismo Tiba Di Malaysia - Harga Dari RM645k

Next post

Mitsubishi Outlander Terima Anugerah 10 Ruang Dalaman Terbaik WardsAuto

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *