Bisnes

Jualan Toyota Naik 223 Peratus Pada September 2021!

Dengan situasi pandemik Covid-19 yang perlahan-lahan bertambah baik serta kehidupan yang mula kembali normal, perniagaan dalam sektor automotif juga menyaksikan peningkatan dari sudut jualan.

Bagi UMW Toyota Motor, syarikat itu mencatatkan jumlah jualan sebanyak 8,033 unit, di mana 7,931 unit daripadanya adalah kenderaan Toyota manakala 102 unit adalah kenderaan Lexus.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5,509 unit atau 223 peratus berbanding jualan pada Ogos 2021. Angka tersebut juga 43 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan 5,605 unit yang dicatatkan dalam bulan yang sama tahun lalu.

Secara terkumpul, jualan semasa tahunan (year-to-date) bagi kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia mencecah 43,594 unit setakat penghujung September 2021 berbanding 25,978 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2021.

“Kami sangat senang melihat pasaran mula kembali kepada situasi normal, memandangkan tempoh beberapa bulan sebelum ini keadaannya sangat mencabar. Bilik pameran kami telah dibuka dan menerima kunjungan ramai pelanggan setiap hari, dengan tempahan juga semakin meningkat,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Untuk mengalu-alukan semula kedatangan pengunjung ke bilik pameran seluruh negara, UMWT kini sedang menganjurkan promosi “Kunjung & Menang” yang menawarkan 38 buah hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM30,000.

Tiada pembelian yang perlu dibuat. Pelanggan boleh mengambil bahagian dengan hanya mengambil gambar di bilik pameran rasmi dan memuat naik gambar tersebut ke media sosial seperti Facebook dan Instagram berserta kapsyen. Kemudian, maklumkan kepada UMWT URL hantaran terbabit agar ia boleh dinilai.

Berikut adalah hadiah-hadiah yang menanti peserta:

  • Hadiah utama – iPhone 12 (64 GB)
  • Hadiah tempat kedua – TV Samsung 4K LED 55-inci (2 unit)
  • Hadiah tempat ketiga – Pengering rambut Dyson Supersonic (2 unit)
  • Hadiah saguhati – Kerusi TT Racing Maxx, papan kekunci gaming Kingston Hyper X, alat sanitasi udara mudah alih untuk kereta Philips dan kad Touch N’ Go kustom dengan nilai terisi sebanyak RM100
Previous post

Land Rover Defender 110 Sah Lancar Di Malaysia 21 Oktober Ini

Next post

Mazda CX-50, CX-60, CX-70, CX-80, CX-90 Diumumkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *