Berita Auto

Honda Civic Type R Generasi Baharu Diacah

Honda telah mendedahkan teaser pertama untuk Civic Type R generasi baharu. Menurut syarikat itu, hatchback itu masih dalam fasa pembangunan dan akan dibawa ke litar Nurburgring untuk ujian peringkat seterusnya. Ia akan diperkenalkan sepenuhnya pada tahun hadapan.

Berdasarkan apa yang boleh dilihat, model baharu ini mempunyai reka bentuk luaran yang lebih matang jika dibandingkan dengan model FK8. Sungguh pun begitu, ia masih mengekalkan elemen-elemen sporty seperti bukaan udara yang lebih besar pada bampar hadapan, serta mesh honeycomb.

Selain itu, ia juga dilihat mempunyai rim baharu yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport, manakala gabungan angkup brek Brembo berwarna merah dan cakera yang besar turut disertakan seperti sebelum ini. Di belakang, terdapat spoiler GT yang besar serta diffuser yang menjadi hos kepada tiga muncung ekzos. Bagaimanapun, tidak seperti FK8, muncung yang besar berada di tengah dan diapit oleh muncung kecil pada sebelah kiri dan kanan.

Gambar ruang dalaman masih belum disiarkan, namun jangkaan kami ia tidak jauh berbeza dengan model Civic standard, dengan penambahan kerusi bucket dan elemen merah hitam yang sudah menjadi trademark Type R.

Honda Civic Type R Teaser

Turut menjadi tanda tanya adalah spesifikasi teknikal. Ada desas-desus mengatakan yang Civic Type R baharu akan tampil dengan trenkuasa hibrid pacuan semua roda yang menghasilkan 400 PS, namun perkara ini masih belum disahkan oleh pihak Honda. Apa yang pasti, ia akan hadir dengan enjin turbo 2.0-liter yang mungkin telah ditala dan juga transmisi manual.

Previous post

Trak Pikap JMC Vigus Pro 4X4 Bakal Dilancarkan Di Malaysia

Next post

Proton Kembali Bangkit, Catat Jualan Lebih 10,000 Unit Pada September

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *