Motosikal / Lain Lain Roda

Harley-Davidson Sportster S Tiba Di Malaysia – RM92,900

Didi Resources Sdn Bhd telah melancarkan Harley-Davidson Sportster S baharu di Malaysia, tiga bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global. Motosikal ‘sport custom’ ini dijual pada harga RM92,900 dan akan membuat penampilannya pada acara rumah terbuka Harley-Davidson yang akan diadakan dari 30 hingga 31 Oktober 2021.

Mengikuti jejak langkah Pan America, Sportster S turut dikuasakan oleh enjin V-berkembar sejukan cecair Revolution Max 1250T yang menjana 121 hp dan 125 Nm. Menurut Harley-Davidson, enjin tersebut ditala bagi menghasilkan tork yang tinggi pada julat rpm rendah, dengan lengkung tork yang rata sehinggalah mencapai tahap redline 9,500 rpm.

Selain itu, sistem ekzos 2-1-2 menghasilkan bunyi fruekensi rendah, manakala penggunaan komponen-komponen ringan memberikan nisbah kuasa-berat yang ideal. Bercakap tentang berat, Sportster S mempunyai berat 228 kg jika tangki minyak 11.8-liternya diisi penuh.

Untuk casis pula, Sportster S didatangkan dengan fork terbalik Showa 43 mm dan penyerap hentak piggyback (juga dari Showa) yang digandingkan dengan swingarm trellis. Ia juga mempunyai rim tempaan aluminium yang dibalut tayar Dunlop GT503.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup monoblock empat piston dengan cakera tunggal 320 mm di hadapan, dan angkup dua piston dengan cakera 260 mm di belakang. Kedua-dua angkup berkenaan adalah keluaran Brembo.

Sementara itu, sistem elektronik yang disertakan pada model ini adalah unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi dengan ciri-ciri seperti Cornering ABS, Cornering Traction Control System, Cornering Drag Torque Slip Control System, dan juga sistem pemantauan tekanan tayar.

Terdapat juga empat mod tunggangan (Road, Sport, Rain dan Custom) serta paparan TFT 4.0 inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi Bluetooth.

Sportster S boleh didapati dalam tiga warna iaitu Vivid Black, Stone Washed White Pearl dan Midnight Crimson. Sudah tentu, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori rasmi yang ditawarkan oleh Harley-Davidson seperti tempat duduk solo, cermin penghadang angin, tailbag dan pelbagai lagi.

Previous post

TC Subaru Tawar Promosi 'Pandu Sekarang, Bayar Kemudian' Untuk Forester

Next post

SKIDOO Tawar Perkhidmatan Penghantaran 40% Lebih Murah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *