Motosikal / Lain Lain Roda

Ducati Multistrada V2 Hadir Sebagai Pengganti 950

Ducati memperkembangkan barisan motosikal kembara mereka dengan pelancaran Multistrada V2 menerusi acara World Premiere 2022.

Menggantikan model terdahulu iaitu Multistrada 950, Multistrada V2 hadir sebagai sebuah motosikal kembara versatil yang sesuai untuk kegunaan harian, sama ada di dalam atau luar bandar.

Ducati Multistrada V2

Ia dikuasakan oleh enjin Testastretta 11° bersesaran 937 cc yang menghasilkan 113 hp pada 9,000 rpm dan 96 Nm pada 7,750 rpm. Walaupun berkuasa tinggi, enjin V-berkembar itu mempunyai jarak servis yang lebih panjang iaitu 15,000 km dan pemeriksaan injap setiap 30,000 km.

Antara penambahbaikan yang telah dilakukan pada enjin ini termasuklah penggunaan rod penghubung baharu, klac hidraulik lapan cakera dan juga kotak gear yang dinaik taraf yang dikatakan mampu melakukan penukaran gear dengan lebih tepat.

Casis Multistrada V2 dikatakan tangkas dan intuitif, dengan tayar hadapan berukuran 19 inci yang memastikan tunggangan yang lancar dan selesa, serta penggunaan sistem suspensi semi-aktif Ducati Skyhook Suspension EVO (standard pada V2 S) yang boleh menyerap ketidakrataan pada permukaan jalan.

Dari segi ergonomik pula, ketinggian pelana telah dikurangkan kepada 830 mm manakala bentuknya direka semula supaya lebih langsing dan kompak bagi memudahkan kaki penunggang menjejak tanah. Pelanggan juga boleh mendapatkan pelana rendah dan kit suspensi rendah yang ditawarkan menerusi katalog Ducati Performance. Dengan gabungan ini, pelana berada pada kedudukan 790 mm.

Satu lagi aspek yang diberikan perhatian adalah pengurangan berat, di mana Multistrada V2 dikatakan 5 kg lebih ringan berbanding Multistrada 950. Ini disumbangkan menerusi penambahbaikan pada enjin (2 kg), klac (1.5 kg) serta komponen-komponen lain seperti cermin dan roda, kedua-duanya diambil daripada Multistrada V4.

Dari segi kelengkapan, Multistrada V2 didatangkan standard dengan ABS Cornering, Vehicle Hold Control, Ducati Traction Control, empat mod tunggangan (Sport, Touring, Urban dan Enduro) dan sistem Ducati Brake Light yang akan mengelipkan lampu belakang apabila penunggang melakukan brek kecemasan.

Ducati Multistrada V2

Sementara itu, versi S pula hadir dengan penambahan Cruise Control, lampu LED penuh dengan fungsi Cornering Light, Quick Shift Up & Down, sistem Hands Free, paparan TFT lima inci dan butang kawalan pada bar hendal.

Previous post

Proton Kembali Bangkit, Catat Jualan Lebih 10,000 Unit Pada September

Next post

Triumph Tiger Sport 660 Diperkenalkan Dengan Enjin Triple

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *