Sukan

Aramco Ganti Petronas Sebagai Penaja Utama Pasukan Mercedes-AMG F1?

Petronas telah menjadi penaja utama pasukan Mercedes-AMG F1 sejak 2010 dan bersama, mereka telah memenangi tujuh gelaran juara pengeluar dan pemandu. Bagaimanapun, laman web Decalspotters melaporkan bahawa kerjasama tersebut bakal berakhir pada penghujung musim ini dan bakal diambil alih oleh gergasi petroleum Arab Saudi, Aramco.

“Kerjasama pasukan itu dengan Aramco akan bermula pada 2022, dengan warna hijau-biru syarikat itu menggantikan warna hijau turquoise Petronas,” jelas laman web tersebut.

Tambah Dealspotters lagi, langkah ini mungkin disebabkan oleh kekangan kewangan yang dihadapi oleh syarikat petroleum negara itu yang dikatakan mengalami kerugian berjuta-juta sejak 2020 akibat pandemik dan harga minyak mentah yang rendah.

“Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan yang Petronas akan menilai semula aktiviti pemasarannya dan mengambil langkah-langkah penjimatan kos setelah berdepan cabaran ekonomi.” Pada bulan lalu, Petronas mengumumkan bahawa ia akan menarik diri daripada menaja pasukan Sepang Racing Team (SRT) dalam MotoGP bermula 2022.

Bagaimanapun, laman web GPFans mendakwa bahawa pasukan Mercedes-AMG F1 tidak akan menggantikan Petronas dengan Aramco pada penghujung musim F1 ini. Walaupun sumber gagal menepis kemungkinan yang ada kesepakatan dibuat dengan Aramco, laman web itu mengesahkan yang “hubungan Mercedes-Petronas akan berterusan selama beberapa tahun lagi selepas 2022.”

Menurut GPFans, laporan mengenai Mercedes-AMG F1 akan berpisah dengan Petronas dan bergabung dengan Aramco timbul disebabkan hubungan rapat syarikat petroleum Arab Saudi itu dengan INEOS yang merupakan salah satu penaja pasukan lumba itu.

Pada Disember tahun lalu, INEOS meningkatkan pegangannya di dalam pasukan Mercedes-AMG F1, sekaligus menjadikan ia pemegang satu pertiga saham pasukan itu di samping Daimler AG dan ketua pasukan Toto Wolff.

Previous post

Adakah Kita Sudah Bersedia Untuk Pemilikan Kereta Elektrik?

Next post

Shinya Ikeda Diumum CEO Baharu Mitsubishi Motors Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *