Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha MT-25 Dikemaskini Untuk Model Tahun 2021

Selain Yamaha MT-15, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut mengemaskini Yamaha MT-25 untuk 2021 dengan memperkenalkan dua pilihan warna baharu iaitu Yamaha Blue dan Storm Fluo.

Apa yang penting, harga model ini tidak berubah iaitu RM21,500 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar untuk dua tahun/20,000 km serta kunci brek cakera bernilai RM100 secara percuma.

MT-25 dipacu oleh enjin 249 cc dua silinder selari yang menjana 35.1 PS pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm pada 10,000 rpm. Enjin DOHC, empat lejang itu digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai pacuan akhir jenis rantai.

Dari segi dimensi dan berat, model ini 125 mm lebih panjang, 45 mm lebih sempit, 5 mm lebih tinggi, dan 36 kg lebih berat jika dibandingkan dengan MT-15. Namun, pada ketinggian 780 mm, kedudukan tempat duduknya adalah 30 mm lebih rendah jika dibandingkan dengan model yang lebih kecil itu.

Casisnya pula terdiri daripada kerangka jenis ‘diamond’ yang dipadankan dnegan fork teleskopik terbalik dan lengan ayun. Selain itu, ia didatangkan dengan rim berukuran 17 inci dan brek cakera hidraulik pada bahagian hadapan dan belakang, lengkap dengan ABS.

Turut disertakan adalah lampu LED, lampu isyarat LED dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light) dan panel meter LCD.

Previous post

Yamaha MT-15 Kini Dengan Tiga Warna Baharu

Next post

Vespa Sprint S 150 Kini Dengan Papan Pemuka TFT - RM19,900

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *