Berita Auto

Xiaomi Akan Bangunkan Kilang EV Di Beijing Dan Wuhan

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, Xiaomi telah mengumumkan yang mereka akan memulakan perniagaan kenderaan elektrik dengan pelaburan awal bernilai RMB10 bilion (kira-kira US$1.52 bilion atau RM6.3 bilion). Pengumuman tersebut dilakukan pada Mac lalu. Kini, timbul pula laporan yang mengatakan bahawa gergasi teknologi China itu akan menggunakan model ‘kilang berganda’ atau ‘dual factory’ dalam usahanya untuk mengeluarkan EV mereka secepat mungkin dan menjamin kestabilan produksi pada masa depan.

Laporan tersebut mendakwa bahawa Xiaomi EV Inc sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa industri untuk mempercepatkan pemerolehan Borward Motors dan kilangnya di Beijing bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan aktiviti pemasangan mereka. Terletak di daerah Miyun, kilang yang menggunakan konsep Perindustrian 4.0 Jerman itu mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 180,000 unit dalam fasa pertama dan 360,000 unit dalam fasa kedua.

Bagaimanapun, akibat masalah kewangan yang dialami oleh Borgward, kilang tersebut telah digantung operasi selama lebih setahun dan mula memberhentikan pekerja baru-baru ini. Dilancarkan pada pertengahan 2016, kilang tersebut merangkumi keseluruhan proses produksi kenderaan termasuk penghentakan (stamping), badan, cat, pemasangan akhir, pemeriksaan, logistik dan IT. Bukan itu sahaja, ia juga mampu menampung pemasangan kenderaan enjin pembakaran dalaman dan elektrik.

borgward-bankrupt-bxi7-front-right-2.4

Borgward pernah menjadi pengeluar kenderaan kedua terbesar Jerman pada pertengahan 1950-an selepas Volkswagen. Pada 2014, ia dihidupkan semula oleh Foton Motor, sebuah anak syarikat Beijing Automotive Industry Corporation (BAIC) yang menghasilkan kenderaan komersial. Selepas hanya lima tahun pemilikan, Foton melepaskan 67 peratus sahamnya kepada syarikat pembekal ride-hailing dan kereta sewa dari China iaitu UCar. Pada Jun lalu, Borgward dilaporkan telah memfailkan bankrap.

Selain memperolehi Borgward dan asetnya, Xiaomi juga dilaporkan telah memilih tapak untuk pembinaan kilang baharunya di Wuhan Economic and Technological Development Zone. Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan kilang itu akan berlangsung pada bulan ini. Kilang tersebut dikatakan terletak berhampiran kilang XPeng Motor.

Xiaomi Mi - logo - 1.0

Selain itu, Xiaomi juga dilaporkan sedang dalam proses merekrut operator untuk kilang Wuhan-nya. Bukan itu sahaja, pengasas syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Lei Jun juga masih sedang mencari rakan kongsi sesuai untuk membantu membina kereta elektrik mereka. Salah satu calon yang mempunyai potensi adalah FAW Group, yang mana menurut laporan, telah dikunjungi oleh Lei baru-baru ini.

Tindakan Xiaomi untuk mencari rakan kongsi dari kalangan pengeluar kenderaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sukar bagi syarikat itu untuk memulakan perniagaan EV tanpa sebarang sokongan atau bantuan daripada pakar industri. Lagipun, syarikat itu telah menetapkan sasaran mereka untuk menjual 900,000 unit kenderaan dalam tiga tahun pertama.

Previous post

Nissan GT-R T-Spec Tampil Dalam Dua Warna Ikonik

Next post

Mazda CX-5 Ditambah Baik Bagi Pasaran Amerika Syarikat

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *