Berita Auto

Volvo Menuju Ke Arah Bebas Kulit Bermula Dengan C40 Recharge

Volvo Cars mengambil pendirian beretika untuk kebajikan haiwan dalam kenderaan elektrik keluarannya. Bermula dengan C40 Recharge, semua model elektrik Volvo akan bebas daripada penggunaan kulit haiwan sepenuhnya. Menjelang 2030, syarikat itu hanya akan menawarkan kereta elektrik dan kesemuanya bebas kulit.

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk tidak lagi menggunakan kulit dalam kenderaan buatannya, Volvo kini sedang giat mencari sumber yang berkualiti tinggi dan lestari. Menjelang 2025, syarikat itu menyasarkan 25 peratus daripada bahan di dalam kereta Volvo diperbuat daripada kandungan kitar semula dan berasaskan bio, di samping pembekalnya menggunakan 100 peratus tenaga yang boleh diperbaharui.

Langkah Volvo untuk menuju ke arah bebas kulit didorong oleh keprihatinan mengenai impak persekitaran negatif yang diakibatkan oleh penternakan lembu, termasuk penebangan hutan. Industri ternakan dikatakan menyumbang kira-kira 14 peratus pelepasan gas rumah kaca global.

C40 Recharge

Sebagai alternatif, pengeluar kenderaan dari Sweden itu akan menawarkan bahan lestari berkualiti tinggi yang diperbuat daripada sumber berasaskan bio dan kitar semula. Sebagai contoh, Nordico merupakan bahan baharu yang dihasilkan daripada botol PET, sumber bio daripada hutan lestari di Sweden dan Finland, serta gabus daripada industri wain.

Bagaimanapun, Volvo akan masih menawarkan pilihan campuran bulu dengan syarat ia diperoleh daripada pembekal yang diiktiraf. Ini bagi memastikan kebolehkesanan sepenuhnya dan kebajikan haiwan sentiasa terjaga dalam rantaian pembekalnya.

C40 Recharge

Selain itu, Volvo akan mengurangkan penggunaan sisa produk daripada hasil ternakan yang digunakan secara meluas dalam pengeluaran plastik, getah, pelincir dan pelakat.

“Mencari produk dan bahan yang menyokong kebajikan haiwan akan menjadi sesuatu yang mencabar, namun ia bukanlah alasan untuk mengelakkan isu yang penting ini,” kata Stuart Templar, pengarah kelestarian global Volvo Cars.

Previous post

Program Loyal-T Toyota Janji Lebih Nilai Dan Ganjaran

Next post

Suzuki GSX-S1000GT Diperkenalkan Secara Rasmi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *