Motosikal / Lain Lain Roda

Vespa Sprint S 150 Kini Dengan Papan Pemuka TFT – RM19,900

Didi Resources secara rasminya telah melancarkan Vespa Sprint S 150 dengan papan pemuka TFT. Malaysia merupakan negara ketiga di dunia yang menerima model ini selepas Jepun dan Thailand.

Paparan TFT yang digunakan oleh model ini boleh dikatakan hampir serupa dengan apa yang terdapat pada GTS 300 HPE Super Tech, di mana ia didatangkan dengan sistem ketersambungan Vespa Mia yang membolehkan penunggang menyambungkan telefon pintar Android dan iOS mereka menerusi Bluetooth.

Vespa Sprint S 150 Papan Pemuka TFT

Melalui cara ini, penunggang boleh menggunakan sistem navigasi serta menguruskan panggilan, mesej dan muzik dengan menggunakan joystick yang terletak di sebelah kiri bar hendal.

Penunggang juga boleh mengakses status kenderaan, parameter tunggangan dan statistik perjalanan di telefon mereka menerusi aplikasi mudah alih Vespa yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Bukan itu sahaja, Sprint S 150 dengan papan pemuka TFT juga hadir dengan beberapa ciri penggayaan unik yang membezakannya dengan versi biasa. Ini termasuk warna Bronzo Antico dan Nero Opaco, masing-masing dengan rim hitam matte dan gangsa, jahitan berlian pada pelana dan juga kemasan warna kontra.

Tidak ada sebarang perubahan mekanikal dengan model baharu ini, bermakna ia dikuasakan oleh enjin i-Get 155 cc, silinder tunggal yang menghasilkan 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm pada 6,500 rpm. Sistem suspensi merangkumi penyerap hentak hidraulik dengan lengan tunggal di hadapan dan penyerap hentak dengan pelarasan pra muatan di belakang.

Vespa Sprint S 150 Papan Pemuka TFT

Brek hadapan menggunakan cakera besi hidraulik berukuran 200 mm, manakala brek belakang pula adalah jenis gelendong 140 mm. ABS saluran tunggal disertakan secara standard, begitu juga dengan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang.

Boleh didapati di semua wakil pengedar Vespa di seluruh negara, Sprint S 150 dengan papan pemuka TFT dijual pada harga RM19,900. Ia didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

Previous post

Yamaha MT-25 Dikemaskini Untuk Model Tahun 2021

Next post

EMAEP Bolehkan Pekerja Sime Darby Tukar Kereta Setiap Tahun

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *