Motosikal / Lain Lain Roda

Suzuki GSX-S1000GT Diperkenalkan Secara Rasmi

Suzuki baru-baru ini memperkenalkan model sport tourer baharu yang dinamakan sebagai GSX-S1000GT. Model baharu ini dibangunkan berdasarkan GSX-S1000 baharu yang diperkenalkan pada April lalu, namun dengan penggayaan yang berbeza dan kelengkapan tambahan. Ia menggantikan GSX-S1000F.

Walaupun secara dasarnya ia berkongsi DNA dengan jentera naked itu, GSX-S1000GT, sebagai sebuah model sport tourer, boleh dibezakan menerusi fairing penuh dan cermin penghadang angin yang tinggi yang bertindak untuk menghalakan angin jauh daripada penunggang, sekaligus mengurangkan tekanan pada topi keledar, bahu dan lutut.

Selain itu, cagak getah pada bar hendal dan tempat meletak kaki hadapan dan belakang mengurangkan gegaran, manakala pelana diberi rekaan baharu yang bukan sahaja lebih selesa untuk perjalanan jarak malah, malah membolehkan penunggang dan pembonceng bergerak dengan lebih bebas.

Seperti GSX-S1000, versi GT ini turut dikuasakan oleh enjin 999 cc, empat silinder sebaris yang menghamburkan 150 hp pada 11,000 rpm dan 106 Nm pada 9,600 rpm. Menurut Suzuki, penggunaan throttle body elektronik baharu menghasilkan respon enjin yang lebih lancar dan terkawal, terutamanya apabila memecut keluar dari selekoh.

Kerangka aluminium twin-spar yang digunakan dipadankan dengan fork KYB 43 mm terbalik dan penyerap hentak tunggal dengan pelarasan pramuatan spring tujuh hala dan redaman lantunan. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan angkup Brembo monobloc di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup Nissin di belakang.

Untuk sistem elektronik pula, GSX-S1000GT didatangkan standard dengan Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang merangkumi Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dengan tiga mod tunggangan, Traction Control, Ride-by-Wire Electronic Throttle System, Cruise Control, Easy Start System dan Quickshifter.

Panel instrumen pula menggunakan skrin TFT LCD berukuran 6.5 inci yang memaparkan pelbagai maklumat yang berguna untuk penunggang seperti speedometer, penunjuk RPM, posisi gear, tolok bahan api, suhu bendalir, tetapan Cruise Control dan pelbagai lagi. Ia juga boleh dihubungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi Suzuki mySPIN, membolehkan penunggang mengakses fungsi seperti panggilan, media dan navigasi.

Previous post

Volvo Menuju Ke Arah Bebas Kulit Bermula Dengan C40 Recharge

Next post

Suzuki Jimny Akan Dilancarkan Dengan Harga Lebih Kurang RM160,000

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *