Berita Auto

Nissan GT-R T-Spec Tampil Dalam Dua Warna Ikonik

Percaya atau tidak, sudah 14 tahun Nissan GT-R R35 berada di pasaran namun sehingga kini model penggantinya masih belum nampak bayang lagi. Malah, setiap tahun, Nissan memperkenalkan edisi-edisi istimewa bagi menjadikan ia terus relevan bagi menyaingi supercar-supercar generasi baharu yang muncul bagai cendawan selepas hujan.

Untuk tahun ini, Nissan memperkenalkan GT-R T-Spec yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek visual dan mekanikal, serta dua warna ikonik yang pastinya cukup dikenali oleh peminat GT-R di serata dunia.

Diposisikan di atas varian Premium, model baharu ini menampilkan fender hadapan yang lebih lebar yang diambil daripada model Track Edition terdahulu, rim aluminium aloi RAYS berwarna emas dan juga spoiler belakang yang diperbuat daripada gentian karbon.

Selain itu, terdapat juga lencana T-spec, kemasan hitam untuk lubang udara bonet dan perumah cermin sisi yang didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan. Turut disertakan adalah cakera brek seramik dengan panduan udara (air guides) daripada GT-R NISMO.

Untuk model ini, Nissan menawarkan dua warna terkenal iaitu Millenium Jade dan Midnight Purple. Millenium Jade sebelum ini ditawarkan pada GT-R V-Spec II Nür R34, salah satu GT-R yang paling ‘rare’, manakala warna Midnight Purple pula diinspirasikan oleh rona Midnight Purple III yang digunakan oleh V-Spec R34 dan warna Midnight Opal GT-R R35.

Sementara itu, ruang dalaman pula menampilkan upholsteri kulit semi-aniline berwarna Mori Green, aksen baldu, pelapik bumbung Alcantara dan juga lencana T-spec pada ambang pintu dan konsol tengah.

Nissan GT-R T-spec

Di bawah hud, GT-R T-spec dikuasakan oleh enjin VR38DETT 3.8-liter twin-turbo V6 yang menghasilkan 565 hp dan 633 Nm. Seperti biasa, ia dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda ATTESA E-TS.

GT-R T-spec akan ditawarkan di beberapa pasaran dalam bilangan yang terhad. Di Amerika Syarikat, ia dijual pada harga $138,490 (kira-kira RM576,395), jauh lebih murah berbanding GT-R NISMO Special Edition yang berharga $215,690 (RM897,700).

Previous post

Isuzu D-Max Boleh Didapati Dengan Pakej Huntsman Di UK

Next post

Xiaomi Akan Bangunkan Kilang EV Di Beijing Dan Wuhan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *