Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+ Hadir Dengan 761 PS

Tidak sampai seminggu selepas memperkenalkan kereta hibrid pertamanya iaitu GT 63 S E Performance, Mercedes-AMG kini memperkenalkan pula kereta pertamanya yang dikuasakan sepenuhnya oleh motor elektrik iaitu EQS 53 4Matic+. Nampaknya, zaman benar-benar sudah berubah – syarikat yang terkenal dengan enjin V8 yang berkuasa kini menghasilkan kereta elektrik.

Walaupun tidak mempunyai enjin twin-turbo V8 seperti model AMG yang lain, EQS 53 bukanlah calang-calang jentera. Konfigurasi motor elektrik berkembar (satu pada setiap gandar) yang digunakan memberikannya kuasa berjumlah 658 PS dan 950 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat dengan bantuan sistem pacuan semua roda 4Matic+.

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan pakej AMG Dynamic Plus yang menyaksikan kuasa melonjak kepada 761 PS dan 1,020 Nm dalam mod Race Start dengan fungsi boost. Dari segi prestasi, masa pecutan 0-100 km/j disingkatkan kepada 3.4 saat, manakala kelajuan maksimum meningkat dari 220 km/j kepada 250 km/j.

Kuasa untuk motor-motor elektrik tersebut disimpan di dalam bateri lithium ion berkapasiti 107.8 kWj yang menggunakan sistem 400 volt. Menurut Mercedes, bateri ini menyediakan jarak pemanduan sejauh 580 km dengan satu cas penuh. Bercakap tentang pengecasan, 15 minit memberikan jarak sejauh 300 km menerusi sistem pengecas pantas (DC) berkapasiti 200 kW. Selain itu, bateri tersebut juga mempunyai sistem pemulihan tenaga 300 kW menerusi brek dengan tiga tetapan.

Seperti EQS, model ini dilengkapi dengan sistem suspensi jenis ‘multi link’ pada bahagian hadapan dan belakang. Ia digabungkan dengan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dengan peredam yang dikawal secara elektronik. Turut disertakan adalah sistem stereng roda belakang (rear wheel steering) dengan sudut putaran sehingga sembilan darjah.

Dari segi penampilan, EQS 53 tampil dengan beberapa sentuhan unik AMG seperti gril Panamericana, ‘skirting’ pada bahagian hadapan dan sisi, ‘diffuser’ pada bampar belakang dan juga spoiler kecil pada bahagian belakang. Ia didatangkan standard dengan rim berukuran 21 inci, dengan pilihan untuk menaik taraf kepada rim aerodinamik berukuran 21 atau 22 inci.

Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+

Ruang dalaman juga tidak jauh berbeza dengan model asas, kecuali dengan penambahan tempat duduk sport AMG, stereng AMG, pedal sport dan pelbagai lagi.

Previous post

Hyundai Motor Group Mempersembahkan Visi Mempopularkan Hidrogen

Next post

Pemenang Peraduan Mudah Menang BHPetrol Terima Hadiah Wang Tunai

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *