Berita Auto

Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ Kini Di Malaysia – RM1.12 Juta

Selepas melancarkan E-Class facelift pada Julai lalu, Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan model paling berkuasa dalam barisan sedan eksekutif itu iaitu Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+. Ia dijual pada harga RM1,188,888 (atas jalan tanpa insurans) termasuk cukai jualan 10 peratus.

Sudah tentu, tumpuan utama sedan berprestasi tinggi ini terletak di bawah hud, di mana sebuah enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghasilkan 612 hp dari 5,750 hingga 6,500 rpm dan 850 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm. Dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan yang menggerakkan keempat-empat roda, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.

Walaupun menghamburkan kuasa yang tinggi, enjin ini dilengkapi dengan sistem penyahaktifan silinder yang beroperasi pada julat antara 1,000 hingga 3,250 rpm dalam mod Comfort. Ia berfungsi untuk ‘mematikan’ empat daripada lapan silinder yang ada bagi tujuan meningkatkan tahap kecekapan bahan api. Sistem ini dipaparkan menerusi kluster instrumen dan penukaran dari mod lapan ke empat silinder dilakukan dengan pantas bagi memastikan pemanduan sentiasa lancar dan selesa.

Sementara itu, transmisi tersebut didatangkan dengan fungsi double clutching untuk penukaran gear yang lebih agresif. Tidak seperti unit terdahulu yang merupakan sebuah torque converter, ia menggunakan klac multi-plate basah yang dikatakan lebih ringan dan responsif, terutamanya ketika melakukan pecutan.

Sistem pacuan semua roda 4Matic+ pula mempunyai mod Drift yang boleh diaktifkan menerusi program Race dengan menggunakan pedal penukar gear. Dalam mod ini, ESP dimatikan, transmisi memasuki mod manual dan 100 peratus kuasa disalurkan ke roda belakang.

Untuk tahap cengkaman yang lebih tinggi, E 63 S juga dilengkapi dengan locking differential elektronik pada gandar belakang yang boleh mengurangkan kegelinciran pada tayar di sebelah dalam ketika di selekoh, tanpa sebarang gangguan daripada sistem brek. Dengan komponen ini, pemandu boleh memecut keluar dari selekoh dengan lebih pantas.

Seperti biasa, penampilan model AMG ini lebih agresif jika dibandingkan dengan versi Avantgarde dan AMG Line. Selain rekaan bampar hadapan dan belakang yang berbeza, ia juga mempunyai lampu LED baharu, gerbang roda yang lebih lebar, gril AMG dengan bar melintang, rim AMG berukuran 20 inci dan empat muncung ekzos.

Turut disertakan adalah AMG Night Package yang merangkumi kemasan hitam berkilat pada cermin sisi, apron hadapan dan belakang, muncung ekzos dan gril radiator. Komponen-komponen gentian karbon iaitu splitter hadapan dan trim di dalam apron belakang pula merupakan sebahagian daripada AMG Exterior Carbon-Fibre Package I.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit nappa dengan jahitan kontra berwarna kuning pada tempat duduk dan papane pemuka, trim Crystal Grey, serta stereng AMG Performance baharu yang dibalut gabungan kulit dan mikrofiber Dinamica. Sistem infotainmen MBUX disertakan namun khas untuk model ini, ia mempunyai paparan tambahan untuk data enjin, penunjuk kelajuan gear, mod Warm-Up dan Set-Up, G-Meter dan Racetimer.

Previous post

SPRM Siasat Pengurus Syarikat Kereta Nasional Jual Kereta Murah

Next post

Harga Kereta Baharu Akan Meningkat Lebih Tinggi Pada 2022

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *