Berita Auto

Mazda CX-5 Ditambah Baik Bagi Pasaran Amerika Syarikat

Mazda North American Operations telah mengumumkan kemas kini untuk Mazda CX-5 untuk pasaran Amerika Syarikat. Untuk model tahun 2022, reka bentuk dan kelengkapan SUV itu telah ditambahbaik, manakala sistem pacuan semua roda i-Activ AWD kini dijadikan sebagai ciri standard untuk semua varian.

CX-5 kini kelihatan lebih segar dengan tekstur 3D pada gril yang menggantikan corak mesh sebelum ini dan sayap signatur yang memanjang. Perhatikan dengan lebih teliti dan anda akan nampak yang lampu hadapan dan belakang masing-masing mempunyai sepasang lampu LED berbentuk petak. Turut disertakan adalah rim aloi aluminium baharu.

Sementara itu, model 2.5 Turbo (sebelum ini dikenali sebagai Grand Touring Reserve) pula mendapat beberapa penambahbaikan yang sporty bagi membezakannya dengan model bukan turbo. Ini termasuk kemasan hitam berkilat pada bahagian luaran dan aksen merah pada bahagian dalaman.

Model 2.5 Turbo Signature pula menampilkan kemasan sisi dalam warna yang sama dengan badan, rim berwarna perak, upholsteri kulit Nappa dan kemasan kayu asli.

Di samping kemas kini visual, CX-5 2022 juga menjanjikan pengendalian dan dinamik pemanduan yang lebih baik menerusi ciri Mazda intelligent Drive Select (Mi-Drive) baharu yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan yang paling sesuai dengan hanya menekan satu suis sahaja.

Selain itu, transmisi automatik enam kelajuan kini dikatakan lebih responsif, manakala penggunaan struktur kawalan peredam baharu dan rangka yang lebih tegar mengurangkan gegaran dan bunyi bising dari luar, sekaligus menghasilkan suasana kabin yang lebih senyap serta pemanduan yang lebih selesa. Tempat duduk juga direka semula supaya lebih stabil.

Mazda CX-5 2022

Seperti yang diperkatakan, sistem pacuan semua roda i-Activ AWD kini didatangkan standard pada semua varian CX-5. Bukan itu sahaja, Mazda turut mengesahkan yang ciri tersebut akan disertakan pada semua model CX bermula dengan model tahun 2022.

Sistem ini berupaya untuk memantu peralihan berat secara berterusan berdasarkan daya pecutan dan membelok, dan mengagihkan kuasa ke roda yang sesuai untuk memberikan tindak balas yang segera. Menurut Mazda, ini bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi CX-5, malah menjadikannya lebih selamat di atas pelbagai jenis permukaan jalan.

Previous post

Xiaomi Akan Bangunkan Kilang EV Di Beijing Dan Wuhan

Next post

Ducati Multistrada V4 Dilancarkan Di Malaysia - Harga Dari RM136k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *