Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Lotus Bakal Lancar 4 Model EV Baharu Menjelang 2026

Anak syarikat baharu Kumpulan Lotus iaitu Lotus Technology baru-baru ini menyempurnakan majlis pecah tanah bagi ibu pejabatnya yang terletak di Wuhan, China. Fasiliti itu dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-79

Dengan sokongan daripada Geely Holding Group selaku pemilik Lotus, serta pengeluar kenderaan elektrik NIO yang juga merupakan pelabur, Lotus Technology akan memfokuskan kepada inovasi dalam bidang bateri, pengurusan tenaga, motor elektrik, sistem kawalan elektronik, pemanduan pintar, pengeluaran pintar dan banyak lagi.

Penubuhan divisyen baharu ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik Vision80 yang menggariskan transformasi Lotus menjelang ulang tahunnya yang ke-80 pada 2028.

Dengan kerjasama pasukan Lotus di UK, Lotus Technology akan membangunkan empat model EV baharu. Ia akan dimulakan dengan sebuah SUV segmen E yang dikenali dengan nama kod Type 132 pada 2022, diikuti dengan sebuah coupe empat pintu iaitu Type 133 pada 2023.

Pada 2025, Lotus akan memperkenalkan sebuah SUV segmen D iaitu Type 134, manakala pada tahun berikutnya iaitu 2026, sebuah kereta sport iaitu Type 135 pula akan dilancarkan. Model-model baharu ini akan dijual bersama-sama dengan hypercar elektrik Evija dan model petrol terakhir Lotus iaitu Emira.

Evija-back-side-left-front-2.0

Pembangunan model-model EV baharu tersebut akan dilakukan dengan menggunakan platform Premium yang merupakan salah satu daripada empat platform baharu yang diumumkan pada persidangan strategi Driving Tomorrow April lalu.

Menurut Lotus, platform berkenaan menyokong kenderaan dari segmen C+ hingga E dengan tapak roda (wheelbase) berukuran antara 2,889 mm hingga 3,100 mm. Ia juga boleh menampung bateri berkapasiti antara 92 hingga 120 kWj serta sistem pengecasan pantas 800 volt. Syarikat itu berkata mana-mana produk yang menggunakan platform ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam kurang tiga saat.

Tidak seperti Evija dan Emira yang dipasang di Hethel, model-model EV baharu ini akan dikeluarkan di kilang serba baharu Lotus di Wuhan yang dijangka siap pada tahun ini. Kilang yang dibina dengan pelaburan bernilai £900 juta (RM5.1 bilion) itu meliputi kawasan seluas 1 juta meter persegi dan kapasiti pengeluaran sehingga 150,000 unit kenderaan setahun.

Selain itu, ia mempunyai sebuah litar ujian pintar dengan 16 selekoh dan boleh menampung kenderaan yang dipandu pada kelajuan sehingga 230 km/j. Litar ini juga dilengkapi dengan sistem canggih yang membolehkan kenderaan diangkut ke bengkel menggunakan teknologi pemanduan autonomi tanpa campur tangan manusia.

Previous post

GT 63 S E Performance Jentera Hibrid Berprestasi Tinggi Pertama AMG

Next post

Tayar Trak Michelin X Multi T2 Dilancarkan Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *