Motosikal / Lain Lain Roda

Kawasaki Z650RS – Jentera Moden Retro Saiz Pertengahan

Mengambil kesempatan ke atas segmen moden retro yang semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kawasaki memperkenalkan model terbarunya iaitu Z650RS. Menurut syarikat itu, ia diinspirasikan daripada model Z650-B1 keluaran tahun 1977.

Seperti Z900RS yang dilancarkan di Malaysia tiga tahun yang lalu, Z650RS menggabungkan gaya retro dan teknologi moden. Sebagai contoh, lampu berbentuk bulat klasik itu adalah LED, manakala meter analog berkembarnya menampilkan sebuah panel digital yang memaparkan pelbagai maklumat penting.

Bukan itu sahaja, imej retronya diperkuatkan lagi menerusi kehadiran rekaan duck tail pada bahagian belakang, rim lidi berwarna keemasan dan pilihan warna Candy Emerald Green, Metallic Moondust Grey/Ebony dan Metallic Spark Black.

‘Nadi’ Z650RS adalah enjin silinder berkembar selari bersesaran 649 cc seperti yang digunakan oleh Z650 dan Ninja 650. Kuasa yang dihasilkan juga sama dengan kedua-dua model tersebut iaitu 68 PS pada 8,000 rpm, namun tork sedikit rendah iaitu 64 Nm pada 6,700 rpm. Ia mempunyai tangki bahan api sebesar 12 liter.

Untuk casis pula, model ini menggunakan kerangka trellis yang dipadankan dengan fork konvesional 41 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock dengan pelarasan pra-muatan di belakang. Tempat duduk berada pada ketinggian 820 mm (dengan pilihan aksesori tempat duduk 800 mm), manakala berat keseluruhan motosikal ini adalah 187 kg.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar berukuran 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 200 mm dengan angkup piston tunggal di belakang. Kedua-duanya dilengkapi dengan teknologi ABS daripada Bosch. Rim yang digunakan adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar berukuran 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

Previous post

Ducati Malaysia Beri Lanjutan Waranti 3 Bulan

Next post

Toyota Laser Motor PJ Ambil Berat Tentang Pelanggan, Pasang Filem Antimikrob Rikeguard

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *