Berita Auto

Ferrari Portofino M Masuk Pasaran Malaysia – Harga Dari RM998,000

Naza Italia hari ini melancarkan Ferrari Portofino M, kira-kira setahun selepas model itu diperkenalkan di peringkat global. ‘M’ bermaksud ‘Modificata’, gelaran yang diberikan untuk model-model yang telah melalui evolusi. Dalam kes Portofino M, ia merujuk kepada pembaharuan yang melibatkan aspek reka bentuk dan teknikal yang dibawakan oleh model itu.

Sekilas pandang, ia mungkin nampak sama sahaja dengan Portofino, namun model baharu ini menampilkan bampar hadapan baharu dengan lubang ambilan udara yang direka semula serta penambahan lubang udara pada bahagian sisi. Turut disertakan adalah bilah aluminium pada gril.

Di belakang pula, sistem ekzos baharu tanpa penyenyap menjadikan ‘ekor’ Portofino M lebih kompak. Diffuser turut direka semula dan ia kini terpisah dengan bampar. Menurut Ferrari, ini membolehkan pelanggan menspesifikasikannya dalam gentian karbon. Akhir sekali, model ini didatangkan dengan rim 20 inci baharu dengan kemasan berlian yang membuatkannya ia kelihatan sporty dan ringan.

Tiada perubahan untuk rekaan ruang kabin. Seperti sebelum ini, terdapat skrin sentuh berukuran 10.25 inci pada bahagian tengah serta pilihan skrin infotainmen tujuh inci pada papan pemuka sebelah penumpang. Selain itu, pelanggan kini juga boleh mendapatkan sistem bantuan pemandu ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go
  • Predictive Emergency Brake System
  • Blind Spot Monitoring
  • Lane Departure Warning
  • Automatic High Beam
  • Traffic Sign Recognition
  • Surround View dengan paparan 3D
  • Rear Cross Traffic Alert
Ferrari Portofino M

Enjin 3.9-liter twin-turbo V8 tersebut diberikan cam profile baharu dan beberapa modifikasi lain dan hasilnya, kuasa meningkat dari 600 PS kepada 620 PS, manakala tork kekal pada 760 Nm. Bukan itu sahaja, Ferrari turut menggantikan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan sebelum ini dengan unit lapan kelajuan seperti yang digunakan oleh SF90 Stradale. Bagaimanapun, ia mempunyai nisbah gear yang lebih panjang dan gear undur mekanikal.

Dari segi prestasi, jentera GT ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.45 saat, hanya 0.05 saat lebih pantas berbanding Portofino, manakala pecutan 0 hingga 200 km/j pula dilakukan dalam 9.8 saat, iaitu satu saat lebih pantas berbanding model itu. Kelajuan maksimum pula adalah 320 km/j.

Satu lagi pembaharuan yang ada pada model ini adalah mod pemanduan kelima iaitu Race yang boleh diaktifkan menerusi suis manettino pada stereng. Ia memfokuskan kepada keseronokan memandu maksimum. Turut disertakan adalah Side Slip Control (SSC) yang merangkumi E-Diff, F1-TCS, SCM-E Frs dan Ferrari Dynamic Enhancer (FDE).

Untuk pasaran Malaysia, Portofino M dijual pada harga bermula dari RM998,000 tidak termasuk duti, pilihan custom, cukai dan insurans.

Ferrari Portofino M
Previous post

SkyDrive Jepun Melancarkan Perkhidmatan Mobiliti Udara Pada 2025

Next post

Geometry EX3 Dilancarkan Di China - Harga Kurang Dari RM40,000

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *