Berita Auto

UMW Toyota Motor Sambung Semula Operasi Jualan Dan Kilang Pemasangan

Berikutan pembukaan 11 sektor ekonomi seperti yang diumumkan oleh kerajaan pada 16 Ogos yang lalu, UMW Toyota Motor hari ini mengesahkan bahawa operasi jualan dan servis Toyota dan Lexus, serta kilang pemasangannya telah pun beroperasi semula.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-51

“Kami mengalu-alukan pelonggaran sekatan yang telah banyak memberikan cabaran terhadap perniagaan kami sejak dua bulan yang lepas. Menyambung semula aktiviti perniagaan kami, terutamanya di outlet Toyota dan Lexus, akan membolehkan kami maju ke hadapan dan memainkan peranan kami dalam membantu memulihkan ekonomi negara,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

Tambah beliau, syarikat memahami betapa seriusnya mencegah penularan COVID-19 dan akan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP), syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN.

“Selepas PKP tahun lalu, kami telah melaksanakan banyak SOP di bilik pameran dan pusat servis kami, dan ini dikekalkan sehingga ke hari ini. Antaranya termasuklah pengimbasan suhu, pendaftaran dengan MySejahtera, penggunaan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka, serta sanitasi premis secara berkala,” katanya.

Bukan itu sahaja, pemilik juga perlu membuat janji temu terlebih dahulu sebelum menghantar kereta mereka ke pusat servis. Pembayaran tanpa kontak juga digalakkan, manakala penjarakan sosial diamalkan pada setiap masa.

Menurut Ravindaran, penyambungan aktiviti pemasangan akan membolehkan syarikat menyiapkan tempahan yang diterima sebelum ini. Kedua-dua kilang pemasangan Toyota dan kilang-kilang berkaitan di bawah kumpulan UMW Toyota Motor boleh beropasi pada kapasiti tertentu bergantung kepada peratusan pekerja yang telah divaksinasi. Kapasiti penuh hanya akan dibenarkan sekiranya lebih 80 peratus kakitangan telah menerima suntikan.

Mengenai situasi semasa, Ravindran berkata syarikat masih mempunyai jumlah tempahan yang menggalakkan walaupun prestasi jualan pada Jun dan Julai menunjukkan penurunan yang ketara.

Sementara itu, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata pelonggaran ini membolehkan syarikat meneruskan perancangan mereka untuk memasang kenderaan hibrid elektrik Toyota di Bukit Raja.

Previous post

Hyundai-Sime Darby Lancar Program Pajakan Grand Starex

Next post

BMW R 1250 GS (2021) Kini Di Pasaran Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *