Berita Auto

Lebih 86 Peratus Pekerja Proton Sudah Divaksin Sepenuhnya

Berikutan pusingan kedua perlaksanaan program vaksinasi PIKAS minggu lepas, lebih 86% dari 8,486 warga kerja Proton sudah divaksin sepenuhnya sebagai langkah pencegahan Covid-19. Angka berkenaan dijangka akan bertambah kerana 98% pekerja sudah menerima dos pertama, sejajar dengan sasaran syarikat untuk mencapai imuniti kelompok di dalam rangkaian operasi syarikat.

Sama seperti pusingan pertama vaksinasi, kompleks sukan di kilang Tanjung Malim telah digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN), menyediakan kemudahan vaksinasi bagi warga kerja serta pembekal di kawasan setempat, sementara mereka yang bekerja di Shah Alam mendapat vaksin di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

“Proton dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa program vaksinasi PIKAS telah dijalankan dengan berjaya. Seramai lebih daripada 60,000 orang di dalam ekosistem perniagaan kami, termasuk warga kerja dari pembekal dan wakil jualan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Kakitangan Proton Vaksin COVID-19

“Jadi kami amat berterima kasih kepada MITI, MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk segala bimbingan bagi memastikan semua yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera telah mendapat vaksin mereka. Ia merupakan tugasan besar yang memerlukan koordinasi yang baik,” tambah beliau.

Beliau menjangkakan lebih 80% dari rangkaian operasi Proton akan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang akhir Ogos ini, sekaligus membolehkan syarikat memulakan operasi sebaik sahaja industri automotif diberi lampu hijau.

Kakitangan Proton Vaksin COVID-19

Sebagai persediaan, Proton telah meneliti semula prosedur perniagaannya untuk mengurangkan kebarangkalian penyebaran jangkitan penyakit. Operasi di setiap rangkaian telah diperketatkan untuk melindungi pelanggan dan pekerja sementara proses pembuatan di semua kilang Proton akan dipantau untuk mengurangkan sebarang risiko kebolehjangkitan kepada operasi di pelbagai peringkat.

“Proton komited untuk membantu Malaysia mengurangkan angka penularan wabak Covid-19 supaya mencapai matlamat Pelan Pemulihan Negara. Kami telah menghasilkan proses baharu di semua peringkat, dari kilang pembuatan ke pejabat korporat, bagi memastikan persekitaran bekerja yang baru dan selamat. Ia juga bermaksud peraturan ketat akan dikuatkuasakan dan kaedah seperti mesyuarat dalam talian dan pembahagian kerja dari rumah dan pejabat akan menjadi norma baru dalam masa terdekat,” tambah Dr Li Chunrong.

Previous post

Range Rover Velar Dikemas Kini Untuk Tahun 2021

Next post

Geely Auto Group Anggar Jualan Kereta Tahunan 3.65 Juta Menjelang 2025

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *