Bisnes

Tahniah! Satu Perkembangan Positif Dalam Industri Automotif Malaysia Dengan Memorandum Kerjasama MARii Dan PEKEMA

PEKEMA & MARii hari ini akhirnya menandatangai Memorandum Persefahaman bersama PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR EV TERHUBUNG dan PUSAT KECEMERLANGAN EV.

Kita sudah lama terkilan dan berasa ketinggalan berbanding negara-negara jiran dan serantau kita bila berkenaan kemajuan dalam industri automotif, terutama sekali dalam bidang EV.

Sebagai contoh, Indonesia sekarang dianggap hub kenderaan elektrik ASEAN baharu, Singapura mendapat Pusat R&D Hyundai yang baharu, Kilang Thailand dipilih sebagai kunci rancangan elektrifikasi Mercedes-Benz dan banyak lagi contoh lain. Bukan saja Malaysia melepas peluang-peluang keemasan ini malah banyak kilang yang sedia ada di sini sudah tutop kedai dan berpindah lari ke negara ASEAN lain.

Dan ini semua berlaku ketika dunia masih bergelut dengan pandemik Covid 19. Sambil negara lain masih boleh bergerak maju, negara kita menggunakannya sebagai alasan.

Dengan persefahaman ini PEKEMA akan 1. Memulakan inisiatif menyediakan subsidi kepada ahli-ahli mereka untuk memasang stesen pengecasan di tapak pameran mereka dan 2. Bekerjasama dengan MARi dalam “EV Centre of Excellence” dimana ia akan menjadi pusat latihan untuk bakal mekanik yang melibatkan teknologi baharu seperti perisian atau software, pengurusan tenaga dan sebagainya. Pusat ini juga akan menjadi pusat informasi dari segi penggunaan dan pengalaman.

KENYATAAN FACEBOOK DEWAN MUDA PEKEMA

Walaupun keadaan dunia dilanda pandemik Covid 19 yang boleh dikatakan banyak membantutkan inisiatif-inisiatif PEKEMA dalam usaha melestarikan kemajuan industri automotif di Malaysia demi bergerak selari dengan perubahan arus teknologi baru dalam industri, hari ini kita berjaya melangkah satu lagi tapak kehadapan.

Dengan berlandaskan standard prosedur yang ketat, pihak MARii pada hari ini telah berjaya menganjurkan Majlis Menandatangani Memorandum kerjasama antara MARii dan PEKEMA.

Presiden PEKEMA, Dato’ Zainuddin Bin Abd Rahman di dalam ucapannya berkata, “Bagi bergerak selari dengan perubahan global industri automotif kini yang menuju ke arah tenaga bersih dan teknologi hijau, pihak PEKEMA telah menjalankan inisiatif menyediakan subsidi kepada ahli-ahli kami untuk memasang stesen pengecasan di tapak pameran masing-masing. Operasi menambah dan baik pulih infrastuktur pengecasan pantas ini kami lakukan bagi melancarkan proses mencapai lebih banyak stesen pengecasan pantas di dalam negara. Namun dengan situasi pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan yang di luar kawalan kami ini telah membantutkan inisiatif kami kerana industri automotif adalah tidak dikategorikan dalam perkhidmatan penting. Dan dengan ini, kami berharap industri automotif dapat dikategorikan sebagai antara salah satu perkhidmatan penting negara bagi merealisasikan segala perancangan untuk masa hadapan dan juga bagi membantu ahli-ahli perniagaan di dalam industri ini.”

Menurut Dato’ Zainuddin lagi, “Bagi persediaan jangka masa panjang, PEKEMA dan MARii bekerjasama dalam “EV Centre of Excellence” dimana ia akan menjadi pusat latihan untuk bakal mekanik yang melibatkan teknologi baru seperti perisian atau software, pengurusan tenaga dan sebagainya. Pusat ini juga akan menjadi pusat informasi dari segi penggunaan dan pengalaman. Kami berharap dalam jangka masa 5 tahun, kerjasama di antara PEKEMA dan pihak MARii dapat mencapai kejayaan merealisasikan usaha pembinaan “EV EXCELLENCE CENTRE” ini. PEKEMA juga ingin mengalu-alukan mana-mana syarikat gergasi yang ingin bersama-sama membantu dan menaja usaha sama ini demi kemajuan bersama”.

Pihak PEKEMA mengambil maklum bahawa MARii merupakan penasihat pengerusi pihak kerajaan MITI, dan pihak MARii telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan matlamat tercapai. Usaha baik ini merupakan pemangkin kepada pembangunan negara melalui Kumpulan Wang Amanah Dana Automotif Bumiputera (KWADAB).

Berterima kasih dengan pihak MARii, Dato’ Zainuddin berkata, “Juga menjadi rakan kongsi dalam rujukan kami, terima kasih Dato Madani yang telah bekerja keras memastikan program “EV CENTRE of EXCELLENCE” ini dapat kita tangani hari ini.”

“PEKEMA sebagai persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia ingin menyatakan bahawa segala usaha ini merupakan permulaan kepada gerakan kami dalam membantu syarikat-syarikat bumiputera bukan sahaja dari kalangan peniaga, malah kami ingin turut serta dalam membangunkan negara dalam proses pemindahan teknologi ini. Mewakili PEKEMA dan semua ahli, kami berharap pihak kerajaan menganggap serius dengan perubahan iklim karbon neutral kini seperti yang diwartakan sama ada dari negara jiran mahupun antarabangsa. Sehubungan itu, kami berharap pihak kerajaan akan lebih peka dengan situasi ini dan meletakkan perubahan kepada tenaga mampan.”

Kami berharap sangat MOA ini akan menjadi realiti dan bukan setakat upacara tanda tangan ini sahaja.

Previous post

Program Kereta Terpakai Hyundai Promise Dilancarkan Di Malaysia

Next post

Reka Bentuk Showroom Kereta Lotus Global Baharu Mula Dibuka

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *