Berita Auto

Ini Dia Lamborghini Countach LPI 800-4

Acara Monterey Car Week yang berlangsung di California pada hujung minggu lalu menyaksikan kemunculan semula supercar paling ikonik sepanjang zaman iaitu Lamborghini Countach. Kini dengan label LPI 800-4, ia bukan sahaja tampil dengan rekaan yang lebih segar, malah mempunyai teknologi hibrid daripada Sian FKP 37.

Seperti model yang asal, Countach baharu dikuasakan oleh enjin V12 aspirasi natural yang dipasang secara menegak di bahagian belakang. Dalam kes ini, enjin bersesaran 6.5-liter itu menghasilkan 780 PS dan digandingkan dengan transmisi tujuh kelajuan yang menggerakkan roda hadapan dan belakang – sama dengan Aventador Ultimae.

Bagaimanapun, kehadiran sebuah motor elektrik di dalam kotak gear memberikan kuasa tambahan sebanyak 34 PS, sekaligus menjadikan kuasa keseluruhan 814 PS. Jumlah tork tidak didedahkan, namun Lamborghini mendakwa jentera ini mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 2.8 saat dan 0-200 km/j dalam 8.6 saat, dengan kelajuan maksimum 355 km/j.

Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan kuasanya daripada sebuah supercapacitor yang dikatakan mempunyai kuasa tiga kali ganda lebih tinggi berbanding bateri lithium-ion dengan berat yang sama.

Lamborghini Countach LPI 800-4

Dari segi reka bentuk pula, walaupun menggunakan struktur yang sama dengan Aventador, Lamborghini sedaya upaya mengekalkan bentuk baji (wedge) yang menjadikan Countach begitu popular pada zamannya. Seperti yang dilihat, bentuk keseluruhannya tidak jauh berbeza dengan model asal namun garisan-garisan yang digunakan adalah lembut dan kurang bersegi.

Bahagian hadapannya kelihatan lebih kemas dan bersih, dengan lampu dan gril berbentuk segi empat, manakala di belakang, lampunya mempunyai grafik heksagon seperti yang terdapat pada Sian. Bahagian sisi pula menampilkan lubang ambilan udara NACA yang besar pada pintu. Rim yang digunakan adalah bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dengan rekaan ‘telefon’ 1980an.

Walaupun begitu, Countach juga mempunyai beberapa sentuhan moden di bahagian dalam. Ini termasuklah lubang udara yang dihasilkan menerusi pencetakan 3D, bumbung photocromatic dan skrin sentuh HDMI berukuran 8.4 inci dengan Apple CarPlay.

Dengan casis monocoque dan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon, Countach bukan sahaja mempunyai tahap ketegaran badan yang tinggi, malah beratnya hanya sekitar 1,595 kg (kering). Tekstur gentian karbon boleh dilihat dengan jelas pada splitter hadapan, keliling tingkap hadapan, cermin sisi, penutup bonet enjin dan rocker panel.

Lamborghini Countach LPI 800-4

Boleh didapati dalam warna-warna klasik seperti Impact White, Giallo Countach dan Verde Medio, Countach akan ditawarkan dalam jumlah yang sangat terhad iaitu 112 unit sahaja.

Previous post

Kedai Cuci, Aksesori, Pengedaran, Jualan Kereta Dibenarkan Beroperasi

Next post

Ferrari Testa Rossa J - Kereta Mainan Untuk Golongan Kayangan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *