Cerita Auto

Geely Emgrand Generasi Ke-4 Dilancarkan Di China

Geely Emgrand generasi keempat telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran China, hampir tiga bulan selepas ia dipertontonkan buat kali pertama pada Jun lalu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Emgrand dibina di atas platform B-Segment Modular Architecture (BMA) yang turut digunakan oleh model-model Geely yang lain seperti Bin Yue (dijual sebagai Proton X50 di Malaysia), Bin Rui dan ICON.

Geely Emgrand

Walaupun menggunakan platform segmen B sebagai asas, saiz Emgrand dilihat hampir sama dengan sebuah sedan segmen C. Secara spesifiknya, ia mempunyai ukuran panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm dan tinggi 1,460 mm, menjadikannya 40 mm lebih pendek tetapi 18 mm lebih lebar dan 45 mm lebih tinggi berbanding Honda Civic sedan.

Geely Emgrand - BMA

Dari segi rekaan, model ini tampil segak dan sederhana – tiada garisan-garisan kompleks dan elemen reka bentuk yang keterlaluan. Bahagian hadapannya menampilkan gril dengan bilah menegak krom, dan ia diapit oleh lampu utama dengan lampu nyalaan siang.

Geely Emgrand

Sementara itu, sentuhan elegan pada bahagian sisi pula disampaikan menerusi penggunaan garisan karakter dan kemasan krom yang agak menonjol di bahagian bawah tingkap. Bahagian belakang pula kelihatan mewah dengan adanya rekaan lampu yang lebar dan ‘diffuser’ pada bampar.

Geely Emgrand

Untuk rekaan ruang kabin, Geely menggunakan pendekatan yang sederhana dan moden, dengan kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci, paparan infotainmen ‘terapung’ 10.25 inci, rekaan konsol tengah yang tinggi dan papan pemuka yang bersih. Di samping rekaan dan teknologi mewah yang digunakan, Geely mendakwa Emgrand mempunyai prestasi NVH yang premium dengan tahap hingar kabin serendah 37 dB pada kedudukan melahu (idle).

Geely Emgrand

Kelengkapan lain yang turut ditawarkan untuk sedan ini termasuklah GKUI Geely Smart Ecosystem dengan sokongan kemas kini perisian atas udara (OTA) dan pembantu kecerdasan buatan (AI), sistem pendingin hawa dengan ciri pembersih pintar CN95, kamera 540 darjah dan perakam pemanduan berdefinisi tinggi.

Geely Emgrand

Menguasakan Emgrand adalah enjin aspirasi natural 1.5-liter empat silinder dengan 114 PS dan 147 Nm. Menurut Geely, enjin serba aluminium itu boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan atau CVT dengan lapan nisbah kelajuan maya.

Previous post

Suzuki Kembali Ke Malaysia Dengan 6 Model Baharu

Next post

Geely Boyue X Adalah Proton X70 Baharu Yang Akan Datang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *