Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Ford Mustang 1967 Dijadikan Kereta Elektrik Dengan Jarak Pemanduan Lebih 300 KM

Sebelum Ford Mustang Mach-E diperkenalkan pada 2020, sebuah syarikat startup dari London yang dikenali sebagai Charge Automotive telah terlebih dahulu menawarkan Mustang dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya yang menawarkan jarak pemanduan sekitar 322 km.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-42

Diakui, ia kedengaran seperti syarikat itu terlalu bercita-cita tinggi namun bagi membuktikan yang mereka serius dengan projek tersebut, Charge Automotive telah membawa sebuah prototaip Mustang elektrik ke acara Goodwood Festival of Speed 2019. Seperti yang anda boleh lihat, ia sebuah jentera yang cantik dan kelihatan tidak ubah seperti versi asal.

Ford Mustang elektrik Charge Automotive

Menurut syarikat itu, mereka menggunakan ‘cengkerang’ yang dihasilkan secara berlesen bagi tujuan mengekalkan reka bentuk dan penggayaan klasik Mustang era 60an. Prototaip ini menunjukkan rupa sebenar Mustang elektrik itu apabila ia siap dibina. Bagaimanapun, apa yang menjadikan ia betul-betul unik adalah trenkuasa elektriknya.

Enjin V8 yang digemari ramai itu telah dikeluarkan dan digantikan dengan empat buah motor elektrik iaitu satu untuk setiap roda. Ini secara tidak langsung memberikan Mustang elektrik ini pacuan semua roda bebas atau All-independent Wheel Drive (AiWD).

Gabungan keempat-empat motor elektrik tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 400 kW (544 PS), 1,200 Nm tork motor dan 7,500 Nm tork tayar, sekaligus membolehkan kereta ini memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.8 saat. Jika diikutkan, masa itu satu saat lebih perlahan berbanding Tesla Model S Plaid namun harus diingat yang model itu mempunyai 1,100 hp.

Tenaga untuk motor-motor elektrik tersebut dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 64 kWh, yang dicas menerusi sistem pengecasan pantas DC 50 kW. Seperti yang diperkatakan, satu cas penuh memberikan Mustang elektrik ini jarak pemanduan sejauh 322 km. Sudah tentu, jarak sebenar bergantung kepada beberapa faktor seperti gaya pemanduan, kelajuan, muatan kenderaan dan juga cuaca.

Ford Mustang elektrik Charge Automotive

Walaupun Charge Automotive dianggotai oleh para jurutera yang mempunyai pengalaman bekerjasama dengan syarikat seperti McLaren, Jaguar Land Rover serta pasukan-pasukan F1, trenkuasa elektrik ini dibekalkan oleh syarikat teknologi yang lain iaitu Arrival.

Charge merancang untuk menghasilkan 499 unit Mustang elektrik ini, dengan harga bermula dari £300,000 (RM1.7 juta) tidak termasuk opsyen dan aksesori. Menurut laman web syarikat itu, kereta ini masih dibuka untuk tempahan.

Previous post

MINI STRIP Paul Smith Macam Kereta Tak Siap

Next post

Industri Automotif Dibuka Semula Setelah Kerugian Lebih Dari RM14 Bilion

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.