Berita Auto

Ferrari Testa Rossa J – Kereta Mainan Untuk Golongan Kayangan

Ada sebabnya mengapa Ferrari 250 Testa Rossa dianggap sebagai salah satu jentera Ferrari paling hebat sepanjang zaman. Diperkenalkan pada 1957, ia mempunyai karier perlumbaan yang gemilang dengan 18 kemenangan, termasuk tiga kejuaraan dan empat kemenangan di 24 Hours of Le Mans – satu-satunya kereta Ferrari yang pernah berbuat demikian hinggalah sekarang.

Jadi, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ada 250 Testa Rossa yang mencecah harga puluhan juta dalam acara lelongan. Bagi yang meminati kereta ini, jangan risau kerana Ferrari telah memperkenalkan replika bersaiz 75 peratus (3/4) yang boleh didapati pada harga yang jauh lebih ‘murah’. Dinamakan Testa Rossa J, ia dihasilkan oleh The Little Car Company yang pernah menghasilkan kereta mainan untuk jenama mewah lain seperti Bugatti Baby II.

Ferrari Testa Rossa J

Seperti yang boleh dilihat, rekaan Testa Rossa J tidak ubah seperti 250 Testa Rossa yang sebenar. Apa yang menarik, badan aluminiumnya dibina dengan menggunakan proses yang sama seperti yang digunakan oleh Ferrari 64 tahun lalu, manakala geometri stereng dan suspensinya juga sama seperti kereta asal.

Di dalam, anda akan menemui stereng kayu keluaran Nardi dengan sistem ‘quick release’, tempat duduk yang diberi balutan kulit serta rekaan meter klasik dengan penunjuk suhu bateri dan motor, serta tolok brek janaan semula. Terdapat beberapa sentuhan moden yang diinspirasikan oleh model Ferrari moden seperti pedal F8 Tributo.

Kereta ini dilengkapi dengan rim ala Borrani berukuran 12 inci yang dibalut tayar Pirelli, manakala sistem brek gelendong yang asal telah digantikan dengan cakera berjenama Brembo. Bukan itu sahaja, ia juga menggunakan peredam coilover dan spring kustom Bilstein yang ditala dan diuji di litar ujian Fiorano, dan diiktiraf oleh pemandu uji Ferrari.

Testa Rossa J dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang mendapat bekalan tenaganya daripada tiga buah motor elektrik yang diletakkan di bawah bonet hadapan. Gabungan ini memberikan jarak pemanduan sejauh 90 km dan pemandu boleh menggunakan tombol Manettino untuk memilih mod Novice, Comfort, Sport dan Race. Setiap mod mempunyai output kuasa dan kelajuan maksimum yang tersendiri. Di dalam mod Sport dan Race, kereta mainan ini boleh mencapai kelajuan maksimum 60 km/j/

Ferrari Testa Rossa J

Menurut Ferrari, hanya 299 unit Testa Rossa J akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga 93,000 Euro (RM464,880), dengan 14 livery bersejarah dan 53 warna untuk dipilih. Walaupun direka untuk dipandu oleh sesiapa sahaja yang berumur 14 tahun ke atas, ia tidak boleh dipandu di jalan raya.

Previous post

Ini Dia Lamborghini Countach LPI 800-4

Next post

4 × 4 Yang Mengkagumkan Pasaran Asia Tahun Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *