Sukan

Brabham BT63 GT2 Concept Sertai Saingan GT2 Eropah Bermula Musim 2022

Brabham Automotive mengumumkan bahawa mereka akan menyertai kejohanan GT2 Eropah bermula musim 2022 dengan jentera baharu yang dikenali sebagai BT63 GT2 Concept.

Secara asasnya, ia dibangunkan berasaskan model jalan raya BT62 yang diperkenalkan pada 2018, namun dengan beberapa perubahan bagi memastikan ia mematuhi piawaian perlumbaan. Ini termasuklah enjin yang ditala semula dan pakej aerodinamik khusus.

Selaras dengan peraturan kelas GT2, enjin NA 5.4-liter V8 keluaran Ford itu dilaporkan menghasilkan kira-kira 600 hp, iaitu 100 hp lebih rendah daripada asal. Ia dipadankan dengan transmisi berjujukan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda belakang.

Dari segi aerodinamik pula, BT63 dilihat mempunyai sirip tengah pada bahagian belakang serta rekaan diffuser yang lebih agresif. Kelas GT2 memerlukan berat minimum yang lebih tinggi berbanding kelas-kelas perlumbaan yang lain, bermakna jentera ini dijangka mempunyai berat keseluruhan sekitar 1,250 hingga 1,300 kg. Untuk perbandingan, berat BT62 adalah sekitar 972 kg.

Brabham BT63 GT2 Concept

Perincian teknikal yang lain seperti pakej brek, tetapan peredam dan anti-roll bar masih belum didedahkan namun BT63 dijangka mengekalkan sistem suspensi double wishbone pushrod.

Kereta ini akan membuat penampilan sulungnya pada Oktober tahun ini di kejohanan GT2 Eropah Fanatec 2022 di litar Paul Ricard, di mana ia akan bertanding dalam kelas jemputan. Pasukan yang berminat boleh mendapatkan jentera ini pada harga 400,000 euro (RM2 juta), termasuk sokongan penuh dari pihak pengeluar.

Previous post

BMW i4 M50 Kereta Keselamatan Kejohanan MotoE

Next post

Proton Iriz Dan Persona 2022 Dilancarkan - Harga Dari RM41k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *