Motosikal / Lain Lain Roda

BMW G 310 GS, R Versi 2021 Dilancarkan Di Malaysia

Selain barisan R 1250 GS, BMW Motorrad Malaysia turut melancarkan barisan model G 310 yang diperbaharui. Ia terdiri daripada dua varian iaitu G 310 GS dan G 310 R, di mana GS adalah motosikal jenis kembara yang lasak manakala R pula motosikal jenis ‘naked’ untuk tunggangan harian.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-50

Walaupun dibangunkan dengan tujuan yang berbeza, kedua-duanya mempunyai ‘nadi’ yang sama iaitu enjin silinder tunggal 313 cc dengan empat injap dan teknologi penyejukan cecair. Dengan dua aci sesondol atas dan sistem suntikan bahan api elektronik, ia mampu menjana 34 hp pada 9,500 rpm, dan 28 Nm pada 7,500 rpm.

Antara penambahbaikan yang terdapat pada enjin tersebut adalah cengkaman pendikit elektronik (electronic throttle grip) yang memberikan respons pendikit yang lebih sensitif. Peningkatan kelajuan melahu automatik ketika memulakan tunggangan juga mengelakkan enjin daripada berhenti.

Turut disertakan adalah klac ‘self-boosting anti-hopping’ yang berfungsi untuk mengurangkan tork seretan enjin, selain menawarkan tahap keselamatan yang lebih tinggi, terutamanya ketika membrek dan menurunkan gear. Ia juga mengurangkan daya pengoperasian secara signifikan pada tuil klac serta tuil brek tangan yang kini boleh dilaras dalam empat peringkat.

Dari segi penampilan, G 310 GS boleh dikatakan sebagai R 1250 GS versi mini dengan cermin penghadang angin, serta dapra hadapan dan rekaan bahagian belakang yang tinggi. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Kyanite Blue Metallic (Style Rallye) dan Polar White.

Sementara itu, G 310 R pula diinspirasikan S 1000 R dan disediakan dalam warna Limestone Metallic (Style Sport). Kedua-dua model ini mempunyai pelitup perumah enjin berwarna kelabu titanium serba metalik dan lampu hadapan LED.

Khas untuk G 310 GS adalah versi ’40 Years Edition’ yang menampilkan warna Cosmic Black dan perincian kuning. Cermin hadapan, bar hendal, tangki bahan api, blok enjin dan rim pula dihiasi dengan kemasan hitam. Versi ini terhad kepada 40 unit dan hanya akan dijual pada tahun ini.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan waranti tiga tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan bertempoh tiga tahun) untuk ketiga-tiga model adalah seperti berikut:

  • BMW G 310R – RM 27,500
  • BMW G 310GS – RM 29,500
  • BMW G 310GS ’40 Years Edition’ – RM 31,500
Previous post

Genesis GV60 Akan Menjadi Kenderaan Elektrik Pertama Jenama Mewah Ini

Next post

Toyota Mengurangkan Pengeluaran Global 40 Peratus Kerana Tak Cukup Cip

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *