Berita Auto

Aston Martin Valkyrie Spider Ibarat Jentera F1 Jalanan

Aston Martin mengambil masa yang lama untuk mematerialisasikan Valkyrie namun selepas kemunculan rasminya dua tahun yang lalu, pengeluar kereta mewah itu dilihat semakin aktif menghasilkan varian-varian baharu. Baru Jun lalu kita menyaksikan kehadiran varian AMR Pro yang ‘hardcore’, kini tiba pula varian Spider yang dikatakan mampu memberikan pengalaman pemanduan seperti kereta F1.

Terhad kepada 85 unit sahaja dalam versi pemanduan tangan kiri dan kanan, Valkyrie Spider mempunyai bumbung jenis ‘hardtop’ boleh dibuka yang diperbuat daripada gentian karbon. Apa yang menarik, bumbung berkenaan juga dilengkapi dengan sepasang tingkap polikarbonat yang boleh dinaikkan.

Aston Martin Valkyrie Spider

Bagaimanapun, penggunaan bumbung yang boleh dicabut bermakna Aston Martin tidak lagi boleh menggunakan pintu jenis ‘gullwing’ seperti yang terdapat pada versi coupe. Oleh itu, model ini didatangkan dengan pintu dihedral dengan engsel pada bahagian hadapan.

Seperti mana-mana supercar yang mempunyai bumbung terbuka, beberapa perubahan perlu dilakukan pada struktur gentian karbon, serta sistem aerodinamik aktif dan casis bagi memastikan prestasinya setanding dengan versi coupe. Sudah tentu, penggunaan komponen-komponen tambahan tertentu bermakna Valkyrie Spider mengalami penambahan berat namun menurut Aston Martin, ianya sedikit sahaja jika dibandingkan dengan coupe.

Aston Martin Valkyrie Spider

Aspek mekanikal masih sama, iaitu enjin aspirasi natural 6.5-liter V12 yang dibangunkan oleh Cosworth, serta sebuah motor elektrik yang diletakkan di dalam kotak gear tujuh kelajuan. Gandingan ini menghasilkan 1,155 PS dan 900 Nm.

Walaupun mempunyai berat tambahan, penawaran terbaharu dari Gaydon ini dikatakan mempunyai tahap prestasi yang tidak jauh berbeza dengan kereta lumba LMP1. Masa pecutan 0-100 km/j masih belum didedahkan namun ia dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 330 km/j tanpa bumbung atau 350 km/j dengan bumbung. Ini menjadikan Valkyrie Spider kereta bumbung terbuka ‘road legal’ yang paling laju pernah dihasilkan Aston Martin setakat ini.

Aston Martin Valkyrie Spider

Bukan itu sahaja, aspek aerodinamik yang ditala semula membolehkan hypercar hibrid ini menjana ‘downforce’ sehingga 1,400 kg pada kelajuan 240 km/j dalam mod Track.

Previous post

Honda NSX Type S Ini Adalah Yang Paling Berkuasa Dan Terakhir

Next post

Honda Bersedia Membangkitkan Semula Jenama Integra

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *