Cerita Auto

Proton X70 Edisi Khas Dilancarkan – 2,000 Unit Sahaja, RM123,800

Proton hari ini melancarkan X70 Edisi Khas (SE) untuk pasaran Malaysia, sekaligus menamatkan penantian peminat model itu. Terhad kepada 2,000 unit sahaja, ia diposisikan di bahagian atas barisan model Proton dan hadir dengan skema warna dua tona.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-51

Selain warna Ocean Blue yang diperlihatkan menerusi gambar-gambar ini, X70 Edisi Khas juga boleh didapati dalam warna Ruby Red. Kedua-duanya didatangkan dengan bumbung, spoiler belakang dan cermin pintu yang diwarnakan hitam, serta rim 19 inci yang diberi rekaan baharu yang lebih segar. Turut disertakan adalah logo SE pada tailgate.

Bagi memadankan warna hitam pada bahagian luar, bahagian dalaman juga didatangkan dalam warna hitam bersama perincian mewah yang menaikkan lagi suasana kabin. Ini termasuk tempat duduk kulit Nappa dengan jahitan kontras merah dan putih, trim dalaman dan karpet dengan logo SE.

Dari segi kelengkapan, X70 Edisi Khas mempunyai spesifikasi yang sama dengan varian Premium 2WD. Ia masih dikuasakan oleh enjin 1.8-liter TGDi yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan.

Seperti varian-varian X70 yang lain, penawaran terbaharu ini juga dilengkapi dengan Sistem Penulenan Udara Pintar PROTON (P-IAPS) yang menggabungkan kebaikan penapis kabin N95 dan sistem pembersihan udara untuk menawarkan perlindungan terhadap pencemaran bawaan udara.

Senarai ciri keselamatan pula merangkumi enam bag udara SRS dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dengan pelbagai sistem keselamatan aktif yang bertindak untuk mengurangkan risiko kemalangan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan kamera 360 darjah.

X70 Edisi Khas dijual pada harga RM123,800 (atas jalan tanpa insurans). Sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan, ia akan dijual dengan insentif cukai jualan PEMERKASA+ bernilai RM7,000. Ia kini boleh ditempah secara dalam talian dengan bayaran serendah RM99.

Proton X70 Edisi Khas (SE)

“Dengan penambahan Proton X70 Edisi Khas pada barisan model kami, Proton telah melebarkan lagi pasaran sasaran peringkat atas. Walaupun ianya adalah keluaran terhad, kami yakin bahawa ia akan menarik minat pembeli kereta mewah yang sedang mencari SUV baru pada harga yang berpatutan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar.

Previous post

Mitsubishi Motors Thailand Menguji Keberkesanan Van Kecil EV

Next post

Chevrolet Menasihatkan Pemilik Bolt JANGAN Mengecas EV Mereka Semalaman

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *