Cerita Auto

Kia Sportage Generasi Ke-5 Tampil Dengan Rekaan Serba Baharu

Kia Sportage generasi kelima telah diperkenalkan secara rasmi di peringkat global dan kali ini Kia bukan sahaja menyiarkan gambar-gambar model itu, malah turut mendedahkan spesifikasinya.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-14

Dari segi reka bentuk, Kia berkata tema ‘Opposites United’ yang ditampilkan oleh Sportage bakal digunakan oleh model-model generasi seterusnya syarikat itu. Bahagian hadapan didominasi oleh gril hitam yang digabungkan dengan gril ‘hidung harimau’ pada bahagian atas, serta lampu nyalaan siang berbentuk boomerang.

Kia Sportage

Profil sisi diserlahkan menerusi kehadiran trim krom yang ‘ditarik’ hingga ke tiang D. Bergantung pada varian, Sportage didatangkan rim 17, 18 atau 19 inci, dengan tujuh pilihan reka bentuk, warna dan kemasan. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu tajam yang dihubungkan dengan jalur lampu yang tirus pada bahagian tailgate.

Di dalam, elemen yang paling menonjol adalah paparan melengkung yang mengandungi dua buah skrin berukuran 12 inci, iaitu satu skrin sentuh untuk sistem infohibur dan satu lagi kluster instrumen digital untuk pemandu. Rekaan konsol tengah juga lebih ergonomik berbanding sebelum ini, dengan tombol transmisi ‘shift-by-wire’, butang sentuhan lembut dan pemegang cawan. Ruang pengecas tanpa wayar turut disertakan.

Dibina di atas platform N3 yang turut digunakan oleh Hyundai Tucson, Sportage mempunyai ukuran panjang 4,660 mm, lebar 1,865 mm dan tinggi 1,660 mm. Tapak rodanya yang berukuran 2,755 mm secara tidak langsung menghasilkan ruang kabin yang luas, dengan ruang lega kaki dan kepala untuk penumpang barisan kedua masing-masing berukuran 1,050 mm dan 1,000 mm. Ruang but pula mempunyai kapasiti 637 liter.

Sportage dilancarkan dengan enjin 1.6-liter TGDI yang menghasilkan 180 PS dan 265 Nm. Enjin tersebut dikatakan lebih cekap bahan api yang dicapai menerusi proses pembakaran yang lebih optimum, teknologi penyejukan dan langkah-langkah pengurangan geseran. Ia boleh didapati dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan atau manual enam kelajuan.

Kia turut menawarkan pilihan enjin turbodiesel baharu bersesaran 2.0-liter dengan 186 PS dan 417 Nm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan yang telah dipertingkatkan dengan ‘multi-disc torque converter’ yang dikatakan dapat meningkatkan kecekapan bahan api serta memperbaiki karakteristik pemanduan. Bukan itu sahaja, versi hibrid (HEV) dan hibrid plug-in (PHEV) juga akan ditawarkan kelak.

Dari segi teknologi pemanduan, Sportage buat pertama kalinya dilengkapi dengan Terrain Mode yang direka khas untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak. Ciri ini boleh digunakan untuk apa sahaja jenis permukaan, termasuk salji, lumpur dan pasir.

Satu lagi kelengkapan baharu yang ada pada model ini adalah Electric Control Suspension (ECS) yang bertindak untuk mengawal redaman secara berterusan. Di samping itu, sistem pacuan empat roda (4WD) elektronik pula memastikan kuasa disalurkan secara optimum ke gandar hadapan dan belakang mengikut keadaan jalan dan situasi pemanduan.

Bagi keselamatan pula, Sportage didatangkan dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Highway Driving Assist (HDA), Navigation-based Smart Cruise Control (NSCC), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA) dan Blind-Spot View Monitor (BVM). Turut disertakan adalah Remote Smart Parking Assist (RSPA) yang membolehkan pemandu masuk atau keluar dari petak parkir tanpa perlu berada di dalam kereta.

Previous post

Trak Scania Baharu + Insurans + Cukai Jalan + Pembaikan & Penyelenggaraan Selama 7 Tahun Serendah MYR7,888 Sebulan

Next post

Emira - Kereta Dengan Enjin Pembakaran Dalaman Terakhir Lotus

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *