Berita Auto

Hyundai Kona 1.6 Turbo, N Line Dilancarkan Di Malaysia – Harga Dari RM146,888

SUV segmen B paling berkuasa dalam pasaran Malaysia iaitu Hyundai Kona 1.6 Turbo dan Kona 1.6 Turbo N Line akhirnya dilancarkan secara rasmi, kira-kira dua minggu selepas ia dibuka untuk tempahan.

Menurut Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), Kona 1.6 Turbo dijual pada harga RM146,888, manakala Kona N Line pula berharga RM156,888. Harga yang dinyatakan adalah adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, selepas pengecualian cukai jualan.

Dari segi penampilan, Kona 1.6 Turbo berkongsi rekaan luaran dan dalaman yang sama dengan varian 2.0 Active, kecuali rak bumbung dan warna dua tona yang merupakan ciri eksklusif untuk varian-varian Turbo. Kona N Line pula tampil lebih agresif dengan ‘lip’ aerodinamik dengan sirip, lubang ambilan udara yang lebih besar, rim aloi 18 inci, serta muncung ekzos berkembar.

Kona 1.6 Turbo N Line

Kedua-dua varian ini boleh didapati dalam lima warna iaitu Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Pulse Red, dan Misty Jungle. Kesemuanya dipadankan dengan bumbung dan perumah cermin sisi berwarna hitam.

Susun atur ruang kabin Kona 1.6 Turbo dan N Line juga sama seperti apa yang dilihat pada Kona 2.0, termasuk rekaan konsol baharu, kluster digital 10.25 inci, skrin AVN berukuran lapan inci dengan fungsi Bluetooth, serta Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Turut disertakan adalah brek parkir elektrik, pencahayaan ambien dan kemasan aluminium di sekeliling pembesar suara dan corong penyaman udara.

Kona N Line mendapat pakej khas yang merangkumi upholsteri kulit hitam yang digabungkan dengan suede, jahitan kontras merah, set pedal keluli dan ciri pengudaraan dan pemanas tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. Melengkapkan suasana sporty ini adalah logo N pada tombol gear, stereng dan tempat duduk.

Kona 1.6 Turbo

Kuasa untuk Kona 1.6 Turbo dan N Line dibekalkan oleh enjin turbo empat silinder Smartstream G1.6 T-GDi yang menjana 198 PS pada 6,000 rpm dan 265 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan (Smartstream 7DCT) generasi kedua yang memacu roda hadapan.

Setiap varian Kona didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 300,000 km, dan pakej servis percuma selama tiga tahun atau 50,000 km.

Previous post

Bentley Flying Spur Hybrid Edisi Odyssean Dikatakan Melihat Kepada Masa Depan Berkelanjutan

Next post

Land Rover Defender Trophy Edition Model Khas Untuk Amerika Utara

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *