Khidmat Masyarakat

Honda Malaysia Tampil Bantu Golongan Memerlukan Di Melaka

Ketika ramai hilang sumber pendapatan dan pekerjaan akibat pandemik yang tampak tidak berkesudahan ini, kami gembira melihat banyak syarikat di serata negara yang tampil ke hadapan bagi membantu golongan yang terjejas ini.

Sama ada kita sedar atau tidak, badan-badan kebajikan adalah antara yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 kerana sumbangan dari orang awam dan badan-badan korporat telah banyak berkurang sejak tahun lalu.

Prihatin dengan nasib yang melanda golongan memerlukan, Honda Malaysia, dengan kerjasama Honda Malaysia Suppliers Club (HMSC), baru-baru ini menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan bernilai hampir RM40,000 kepada enam buah rumah kebajikan di Melaka. Ia melibatkan rumah orang tua, pusat kebajikan dan rumah anak yatim.

Berikut adalah enam rumah kebajikan yang menerima sumbangan:

  • Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Dan Warga Emas Alor Gajah
  • Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Dan Anak Yatim Victory
  • Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Harapan
  • Persatuan Kebajikan Sri Murni Insan Istimewa
  • Pertubuhan Kebajikan Bhagawan Sri Ramakrishna
  • Pusat Jagaan Pertubuhan Villa Harapan

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, sumbangan yang diberikan adalah berupa beras, tepung, telur, minyak masak serta produk kebersihan seperti lampin pakai buang, detergen dan gel mandi. Bukan itu sahaja, syarikat turut menyumbang pakaian untuk orang dewasa, serta buku mewarna dan permainan untuk kanak-kanak.

“Kami berharap sumbangan dari Honda Malaysia bersama-sama dengan bantuan daripada orang ramai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mengurangkan beban mereka serta memberikan kegembiraan dan harapan kepada penghuni rumah kebajikan tersebut,” tambah beliau.

Sumbangan berkenaan disampaikan pada 26 dan 28 Julai lalu, dan ia dijangka dapat memanfaatkan lebih 300 individu.

Previous post

Mercedes-Benz E-Class Facelift Kini Di Malaysia

Next post

Goodyear Membangunkan Eagle F1 SuperSport Khusus Untuk Lotus Emira

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *