Motosikal / Lain Lain Roda

Harley-Davidson Sportster S Diperkenalkan

Barisan Harley-Davidson Sportster diperkembangkan lagi menerusi penambahan model terbaharu iaitu Sportster S. Ia sebenarnya telah diperkenalkan dalam bentuk konsep 1250 Custom tiga tahun lalu.

Jika diperhatikan dengan teliti, rekaan Sportster S tidak jauh berbeza dengan model konsep berkenaan. Ia menampilkan bentuk yang besar dan bertenaga, terima kasih kepada bahagian ekor dan tangki minyak yang mengelilingi enjin, serta fork yang tebal dan tayar yang lebar. Sistem ekzos 2-1-2 dan pelana solo pula diinspirasikan oleh jentera ‘flat tracker’ XR750.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Vivid Black, Stone Washed White Pearl dan Midnight Crimson. Ketiga-tiganya didatangkan dengan kemasan Chocolate Satin pada penutup enjin magnesium yang ringan. Seperti model-model Harley yang lain, model ini boleh didapati dengan pelbagai aksesori, termasuk kit penukaran ‘mid-control’, pelana solo ‘sundowner’, penghadang angin yang boleh dicabut serta beg.

Direka untuk mendatangkan keterujaan, Sportster S merupakan motosikal terbaharu dari Milwaukee yang menampilkan enjin sejukan cair V-berkembar Revolution Max 1250T selepas Pan America. Dengan sesaran 1,250 cc dan nisbah mampatan 12:1, enjin tersebut menghasilkan 121 hp dan 125 Nm pada 9,500 rpm.

Harley mendakwa penggunaan injap dan dimensi port yang lebih kecil pada kepala silinder dan bentuk kebuk pembakaran yang berbeza meningkatkan pengeluaran tork sebanyak 10 peratus pada julat rev rendah dan pertengahan jika dibandingkan dengan Pan America.

Untuk suspensi pula, Sportster S mendapat fork cartridge terbalik berukuran 43 mm dan penyerap hentak takungan Piggyback, kedua-duanya dari Showa dan boleh dilaras. Ia juga didatangkan dengan roda aluminium tempaan berlainan saiz yang dibalut dengan tayar Dunlop GT503. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berukuran 320 mm di hadapan dan 260 mm di belakang, serta angkup empat dan dua piston dari Brembo.

Sistem elektronik yang terdapat pada model ini juga tidak mengecewakan, dengan mod tunggangan Sport, Road dan Rain, serta dua mod kustom tambahan yang boleh ditetapkan mengikut citarasa tersendiri. Selain itu, terdapat juga teknologi Cornering Rider Safety Enhancements yang merangkumi unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi dan beberapa lagi gajet bantuan tunggangan yang lain, serta paparan TFT berbentuk bulat berukuran 4 inci dengan sokongan Bluetooth.

Previous post

PKP Berpanjangan Jejas Jualan UMW Toyota Motor, TGR Festival Terus Ditangguhkan

Next post

E-Type UK Restomod Series 3 E-Type Dihargakan RM1.9 Juta

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *