Cerita Auto

Geely Xingyue L Dilancarkan Secara Rasmi Di China

Tiga bulan selepas kemunculan sulungnya, Geely Xingyue L kini telah dilancarkan secara rasmi di China sebagai “SUV yang paling canggih” pernah dihasilkan jenama itu. Geely berkata permintaan untuk model baharu itu sangat memberangsangkan dengan hampir 30,000 pra-pesanan diterima sejak ia diperkenalkan di acara Auto Shanghai 2021 pada April lalu.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-51

Dibina di atas platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, Xingyue L merupakan sebuah SUV bersaiz besar yang mempunyai ukuran ‘track’ (jarak antara roda kiri dan kanan) 1,610 mm dan tapak roda 2,845 mm. Kuasa dibekalkan oleh enjin turbo petrol 2.0-liter empat silinder yang dibangunkan secara bersama oleh Geely dan Volvo.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, enjin tersebut boleh didapati dengan dua tahap kuasa. Ia bermula dengan versi yang digelar sebagai ‘mid-powered’ yang mempunyai 160 kW (215 hp) dan 325 Nm, membolehkan Xingyue L memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat. Versi yang lebih berkuasa pula mendapat 175 kW (235 hp) dan 380 Nm, serta masa pecutan 0-100 km/j dalam 7.7 saat.

Bergantung pada versi, anda sama ada mendapat transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan yang dibangunkan oleh Kumpulan Geely atau kotak gear automatik konvensional yang dihasilkan oleh Aisin. Sistem pacuan empat roda generasi keenam BorgWarner dengan pembahagian tork 50:50 turut tersedia.

Menurut Geely, Xingyue L, bersama dua lag model siri Star iaitu Xingyue S dan Preface, akan menjadi model pertama yang akan ditawarkan dengan sistem hibrid Geely (GHS) 2.0 pada masa hadapan. Bakal diperkenalkan pada suku keempat tahun ini, sistem berkenaan dikatakan mampu menawarkan kecekapan termal sehingga 43.32 peratus dan penjimatan bahan api sehingga 40 peratus.

Dari segi teknologi pula, ciri utama yang disertakan pada Xingyue L adalah sistem pemanduan autonomi Tahap 2 berasaskan 5G yang membolehkan ia mencari petak parkir dan parkir dengan sendiri. Bukan itu sahaja, SUV itu juga boleh ‘dipanggil’ untuk mengambil pemandu di dalam kawasan lingkungan 200 meter. Sistem ini menggunakan 12 radar ultrasonik, lima radar gelombang milimeter, empat kamera berdefinisi tinggi, satu kamera monokular, satu kamera dashcam dan satu kamera dalaman.

Selain itu, terdapat juga ciri Highway Assisted Driving (HSA) yang berfungsi untuk memantau keadaan di sekeliling kendaraan, menukar lorong secara autonomi, dan bergerak ke jarak selamat dari kenderaan besar. Sistem keselamatan, infohibur, casis, pemanduan autonomi dan ketersambungan pula boleh dikemas kini menerusi udara (Over-The-Air).

Previous post

Mercedes-Benz Malaysia Umum Pelantikan Dua Pengurusan Kanan

Next post

Amalgam Collection Hasilkan Model Ford GT40 Dalam Skala 1:8

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *