Berita Auto

Fiat 500X Yachting Ambil Inspirasi Kapal Layar Mewah

Jenama Fiat mungkin sudah terkubur di Malaysia, namun di luar negara, ia dilihat masih lagi aktif menawarkan model-model kompak dalam segmen premium. Terbaru, pengeluar dari Itali itu memperkenalkan model baharu yang dikenali sebagai 500X Yachting.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-3

Model edisi istimewa ini menggunakan model crossover 500X sebagai asas namun apa yang membezakannya adalah bumbung suria jenis ‘soft top’ yang boleh dibuka dalam beberapa saat dengan menekan satu butang sahaja. Didedikasikan khas buat Yacht Club Capri, 500X Yachting didatangkan dalam warna Blu Venezia, dengan kemasan krom pada pemegang pintu dan cermin sisi, serta rim 18 inci yang turut mempunyai perincian biru.

Di dalam, tema pelayaran diteruskan menerusi trim mahogany pada papan pemuka serta logo “Yachting” pada plat ambang pintu yang diperbuat daripada aluminium. Tempat duduk pula diberi balutan mewah dan lembut berwarna putih dengan jahitan kontras berwarna biru. Kunci pula didatangkan dalam warna yang sama dengan badan.

Apa yang menarik, Fiat turut menghasilkan kembar kepada model ini yang berasaskan model yang lebih kecil iaitu 500C. Ia menggunakan skema warna yang sama namun dengan rona biru yang berbeza iaitu Blu Dipinto di Blu. Kemasan krom pula menghiasi gril hadapan, pemegang pintu dan rim 16 inci. Turut disertakan adalah jalur halus pada bahagian sisi badan.

Ruang dalaman model ini menampilkan upholsteri kulit Pelle Frau, sulaman logo ‘500’ berwarna biru dan trim kayu perang pada papan pemuka.

500 unit pertama kedua-dua model ini akan dijual di beberapa pasaran Eropah termasuk Itali, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Switzerland. Setiap unit didatangkan dengan lencana yang memaparkan inisial yang mewakili nama penuh negara masing-masing.

Previous post

MINI John Cooper Works Countryman Facelift Dilancarkan Di Malaysia

Next post

Skandal MARii: Seorang Doktor Yang Meragukan Menjadi Perunding Perubatan Mereka

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *