Sukan

Audi RS Q e-tron Bakal Sertai Rali Dakar 2022

Pada penghujung tahun lalu, Audi mengumumkan bahawa ia akan bertanding dalam Rali Dakar musim 2022 dengan sebuah SUV berkuasa elektrik. Kini, pengeluar dari Ingolstadt itu telah menayangkan jentera yang akan digunakan dalam perlumbaan yang mencabar itu.

Dikenali sebagai RS Q e-tron, ia dipacu oleh sepasang motor elektrik (digelar sebagai Motor Generator Unit atau MGU) yang diletakkan pada gandar hadapan dan belalang. Motor elektrik berkenaan ‘dipinjam’ daripada kereta Audi e-tron FE07 yang dibangunkan oleh Audi Sport untuk cabaran Formula E musim 2021 namun untuk Rali Dakar, beberapa modifikasi perlu dilakukan.

Oleh kerana tiada fasiliti pengecasan di kawasan gurun di mana perlumbaan tersebut diadakan, Audi menggunakan enjin TFSI 2.0-liter empat silinder yang diperoleh daripada jentera lumba Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) untuk mengecas bateri. Ia mempunyai julat operasi antara 4,500 dan 6,000 rpm, dengan penggunaan tenaga kurang 200 gram bagi setiap kWh.

Turut menjadi sebahagian daripada sistem penukaran tenaga ini adalah MGU ketiga yang mempunyai tugas yang sama dengan enjin petrol tersebut, iaitu mengecas bateri semasa RS Q e-tron beraksi. Untuk jentera ini, Audi Sport menggunakan bateri berkapasiti 50 kWh yang dilengkapi dengan mekanisma pemulihan tenaga (energy recuperation) semasa membrek.

Menurut syarikat itu, gabungan motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 670 hp. RS Q e-tron mempunyai berat sekurang-kurangnya 2,000 kg mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Rali Dakar.

RS Q e-tron telah menjalani ujian di Neuburg pada awal bulan ini dan akan menjalani program ujian komprehensif sehingga akhir tahun ini sebagai persediaannya untuk menyertai Rali Dakar 2022.

Previous post

Kempen Servis Pertengahan Tahun Hyundai Dilanjutkan Sehingga 31 Ogos

Next post

McLaren 765LT Spider Model Convertible Paling 'Power' Dari Woking

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *