Berita Auto

Aston Martin Valhalla – Supercar Hibrid Dengan 950 PS Dan 1,000 Nm

Nampaknya kita perlu mula terima hakikat yang kebanyakan supercar generasi baharu akan menggunakan trenkuasa hibrid. Trend elektrifikasi yang melanda industri automotif ini dilihat melibatkan nama-nama besar seperti Ferrari, Lamborghini, McLaren dan juga Aston Martin.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-37

Terbaru, pengeluar yang berpengkalan di Gaydon, England itu telah memperkenalkan Valhalla, sebuah supercar hibrid yang diposisikan di bawah Valkyrie, yang merupakan sebuah hypercar hibrid. Seperti Valkyrie, model terbaharu ini juga dibangunkan dengan kerjasama Red Bull Racing.

Menurut Aston Martin, Valhalla memberikan definisi baharu kepada jenama itu dengan trenkuasa hibrid plug-in (PHEV), struktur gentian karbon dan rekaan aerodinamik yang memberikan keseimbangan kuasa dan dinamik pemanduan.

‘Nadi’ PHEV berkenaan merangkumi enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG dan sepasang motor elektrik; satu diletakkan pada gandar hadapan dan satu pada gandar belakang. Dilengkapi dengan aci engkol ‘flat plane’, enjin tersebut mampu berputar sehingga 7,200 rpm untuk menghasilkan kuasa maksimum 750 PS. Ia dipadankan dengan sistem ekzos ringan dengan flap aktif.

Dikuasakan oleh sistem elektrik berkapasiti 400 V, motor-motor elektrik tersebut pula menjana kuasa tambahan sebanyak 204 PS. Gabungan enjin dan motor elektrik ini sekaligus memberikan Valhalla kuasa keseluruhan sebanyak 950 PS dan 1,000 Nm. Untuk perbandingan, pesaing terdekatnya iaitu SF90 Stradale mempunyai 1,000 PS dan 800 Nm.

Dengan transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan, Valhalla boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.5 saat dan dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 330 km/j. Ini menjadikannya sama laju dengan SF90 Stradale dari segi pecutan 0-100 km/j, namun dari segi kelajuan maksimum, supercar hibrid dari Maranello itu mempunyai kelebihan sebanyak 10 km/j.

Dalam mod pemanduan elektrik (EV), Valhalla dipacu oleh roda hadapan sahaja dan ia boleh memecut sehingga 130 km/j. Memandangkan ia dibangunkan untuk prestasi semata-mata, jarak pemanduan elektriknya sangat pendek iaitu 15 km sahaja. Dalam mod-mod lain, kuasa dibahagikan antara gandar hadapan dan belakang, dan ia berubah-ubah mengikut keperluan. Namun untuk prestasi maksimum, 100 peratus tenaga bateri boleh disalurkan ke gandar belakang bagi membantu enjin V8 itu.

Seperti yang diperkatakan, jentera ini dibina menggunakan tab gentian karbon bagi memastikan ia mempunyai struktur yang tegar, selain memastikan ia dapat mencapai sasaran berat kering tidak melebihi 1,550 kg. Tab tersebut dipadankan dengan suspensi ‘push rod’ ala Formula 1 di hadapan dan suspensi ‘multilink’ di belakang. Turut digunakan adalah gegelung Multimatic dan peredam adaptif (Adaptive Spool Valve atau ASV). Mod Track akan mengurangkan lagi ketinggian untuk memaksimumkan ‘downforce’.

Bercakap tentang ‘downforce’, penggunaan komponen aerodinamik aktif pada bahagian hadapan dan sayap belakang, serta terowong venturi pada bahagian bawah badan membolehkan Valhalla menjana 600 kg ‘downforce’ pada kelajuan 241 km/j. Menurut Aston Martin, ini memberikannya kestabilan terutamanya ketika mengambil selekoh pada kelajuan yang tinggi.

Sementara itu, sistem brek pula terdiri daripada cakera karbon seramik Matrix yang dibantu oleh teknologi Brake-by-Wire. Valhalla didatangkan dengan rim berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci dibelakang, dengan tayar Michelin yang dibangunkan khusus untuknya.

Previous post

Bentley Mulliner Meraikan Pemesanan Bespoke Ke-1000

Next post

Kereta Konsep Pininfarina Teorema Ditunjukkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *