Berita Auto

Bolt Angkup Brek Longgar: Tesla Panggil Semula 5,974 Kenderaan

Tesla telah memanggil semula dua model keluarannya di Amerika Syarikat akibat masalah bolt angkup brek longgar yang mungkin diakibatkan oleh pengetatan yang tidak mengikut spesifikasi yang disyorkan.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-8

Kempen panggilan semula terbaharu ini melibatkan 5,974 unit Model 3 keluaran 2019 hingga 2021 dan Model Y keluaran 2020 hingga 2021. Menurut dokumen National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), bolt angkup yang longgar itu boleh menyebabkan angkup brek terpisah dan terkena roda. Ini boleh mengakibatkan kehilangan tekanan udara tayar sekaligus meningkatkan risiko kemalangan.

Pengeluar kenderaan elektrik itu berkata bahawa ia akan menyediakan perkhidmatan tunda ke pusat servis terdekat sekiranya kenderaan yang mengalami kerosakan akibat masalah itu. Tambah syarikat itu lagi, ia akan memeriksa dan mengetatkan bolt tersebut, atau menggantikannya sekiranya perlu.

Dokumen NHTSA tersebut turut mendedahkan yang Tesla telah diberitahu mengenai masalah itu pada bulan Disember tahun lalu, ketika sebuah Model Y 2021 yang terlibat dalam kemalangan didapati hilang pengikat (fastener) pada angkup brek belakang di sebelah pemandu. Syarikat itu bagaimanapun menegaskan bahawa tiada sebarang insiden kemalangan atau kecederaan dilaporkan berhubung isu itu.

Tesla dilaporkan telah mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan masalah bolt longgar dalam proses pemasangan. Tidak ketahui bila pemilik akan diberitahu mengenai isu tersebut.

Tesla pada awal tahun ini diarahkan oleh NHTSA untuk memanggil balik kira-kira 158,000 kenderaan di Amerika Syarikat atas isu skrin sentuh yang tidak berfungsi.

Previous post

Toyota Lancar GR Supra A91-CF Edition Di Amerika Syarikat

Next post

Clearance Sale SpareXHub Sehingga 10 Jun 2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *