Berita Auto

Subaru Forester Facelift Diperkenalkan Di Jepun

Subaru Forester generasi kelima telah diberikan facelift, tiga tahun selepas model itu dilancarkan di peringkat global. Perubahan reka bentuk luaran dan dalamannya agak minimal, namun setidak-tidaknya Subaru telah menambahbaik ciri keselamatan yang ada pada SUV ini.

Bermula degan bahagian hadapan, Forester mendapat gril heksagon yang lebih besar yang diapit oleh lampu LED yang telah direka semula dengan bentuk yang lebih bersegi. Bamparnya turut diberikan rekaan yang lebih agresif, lengkap dengan lampu kabus LED berbentuk bulat atau menegak.

Menariknya, penampilan bahagian belakang kekal seperti sebelum ini. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih antara tiga warna baharu iaitu Autumn Green Metallic, Cascade Green Silica dan Brilliant Bronze Metallic. Turut ditawarkan adalah rim 18 inci dalam rekaan terkini.

Selain pilihan upholsteri dan trim yang lebih mewah, rekaan bahagian dalaman model facelift ini langsung tidak berubah. Cuma, Subaru mengesahkan bahawa sistem keselamatan aktif EyeSight kini mampu beroperasi dengan lebih berkesan terima kasih kepada sudut kamera stereo yang lebih luas dan perisian baharu.

Di bawah hud, varian Touring, X-Break dan Advance menggunakan trenkuasa hibrid e-Boxer yang menampilkan gabungan enjin NA 2.0-liter empat silinder dan sebuah motor elektrik. Dipadankan dengan Lineatronic CVT, enjin tersebut menghasilkan 145 PS dan 188 Nm. Eksklusif untuk varian-varian e-Boxer adalah penutup gril aktif dan e-Active Shift Control.

Sementara itu, Forester Sport pula dikuasakan oleh enjin turbo 1.8-liter empat silinder dengan 177 PS dan 300 Nm. Kotak gear Lineartronic CVT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive dengan X-Mode.

Subaru Forester Facelift

Pra-tempahan untuk Forester facelift telah dibuka di Jepun dan menurut laporan, pelancarannya dijangka berlaku lewat tahun ini.

Previous post

Muflis Akibat Beli Kereta Baharu Yang Bermasalah?

Next post

Stesen Pengecas Pantas Awam Siemens SICHARGE D Kini Di Asia Pasifik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *