Bisnes

Proton Catat Jualan Eksport Tertinggi Sejak Mac 2013

Proton hari ini mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sejumlah 669 unit kenderaan di pasaran eksport pada Mei 2021, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 98 bulan sejak Mac 2013.

Sehingga penghujung bulan Mei, jumlah jualan adalah sebanyak 174% daripada sasaran berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan hanya kurang 6% sahaja berbanding keseluruhan tahun 2020.

Menurut syarikat itu, peningkatan jualan eksport dipengaruhi oleh permintaan di pasaran tertentu, sesetengahnya adalah pasaran baharu dan yang lain sudah menjual kereta Proton sejak berdekad lalu.

Sebagai contoh, Pakistan yang merupakan pasaran baharu muncul sebagai pasaran eksport terbaik Proton untuk tempoh lima bulan yang pertama tahun ini.

Sementara itu, Brunei yang menjual kereta Proton sejak tahun 1987, menduduki tempat ketiga dari segi jualan tahun ini. Pada bulan Mei, wakil pengedar Proton di Brunei iaitu Proton PAD Motors telah mencatatkan jualan terbaik sejak penubuhannya.

Pengimport dan pengedar kereta Proton di Mesir iaitu Alpha Ezz El-Arab pula menduduki tempat kedua pasaran eksport terbesar Proton dengan jualan mencecah 350 unit tahun ini.

Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton berkata, “Walaupun terdapat kekangan antarabangsa dan peningkatan kos penghantaran akibat wabak Covid-19, kami tetap yakin akan mencapai sasaran kerana pelan jualan daripada pengimport dan kelebihan yang ada pada produk kami.”

Berikutan permulaan pemasangan tempatan bagi Saga di Kenya, rakan kongsi Proton di Pakistan iaitu Al-Haj Automotive juga akan memulakan pemasangan tempatan. Ia akan bermula dengan pemasangan Saga pada akhir bulan Julai atau awal bulan Ogos di kilang baharu mereka di Karachi, diikuti dengan X70.

Bagi pasaran ASEAN pula, selain Brunei, Proton mengesahkan bahawa mereka mempunyai rancangan untuk kembali kepada dua pasaran terbesar di rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia, dalam masa terdekat.

“Bagi kedua-dua negara berkenaan, pihak kami sedang berusaha dalam carian rakan kongsi untuk membina satu rangkaian bagi memastikan satu model perniagaan berdaya maju dan dalam masa yang terdekat, matlamat kami adalah untuk kembali ke pasaran Thailand pada tahun 2022,” kata Steven Xu.

Previous post

Porsche 911 GT3 Kini Boleh Dipesan Dengan Pakej Touring

Next post

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupé Menerima Kemas Kini Kecil

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *