Cerita Auto

Porsche Cayenne Turbo GT – Raja SUV Baharu

Pelopor SUV berprestasi tinggi iaitu Porsche telah memperkenalkan model flagship dalam barisan Cayenne iaitu Cayenne Turbo GT. Hanya ditawarkan dalam bentuk badan coupe, model ini dibangunkan khas untuk prestasi maksimum dan pengendalian tanpa mengorbankan aspek kebolehgunaan.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-72

Menurut Porsche, Cayenne Turbo GT dikuasakan oleh enjin lapan silinder paling berkuasa pernah dihasilkannya. Berkapasiti 4.0-liter dan dibantu oleh dua pengecas turbo, enjin V8 itu menghasilkan 640 PS dan 850 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 90 PS dan 80 Nm berbanding Cayenne Turbo Coupe. Benar, Cayenne Turbo S E-Hybrid mempunyai kuasa yang lebih tinggi iaitu 679 PS namun harus diingat yang ia merupakan model hibrid plug-in (PHEV).

Untuk mencapai peningkatan kuasa ini, Porsche menaik taraf beberapa komponen termasuk aci engkol, pengecas turbo, suntikan bahan api, sistem induksi dan juga intercooler. Enjin ini juga berbeza dari enjin V8 Turbo Coupe dari segi aci engkol, rod penghubung, piston, rantai pemasa dan peredam gegaran.

Selain itu, transmisi Tiptronic S lapan kelajuan turut dan sistem Porsche Traction Management (PTM) turut diubahsuai, dan ini termasuk penggunaan sistem penyejukan cecair tambahan untuk ‘transfer case’. Sistem ekzos sport yang digunakan adalah unik untuk model ini dan ia diperbuat daripada titanium yang bukan sahaja lebih ringan, malah lebih tahan panas.

Dari segi prestasi, Cayenne Turbo GT mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j. Untuk perbandingan, Cayenne Turbo Coupe memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan itu dan boleh memecut sehingga 286 km/j, manakala angka prestasi Lamborghini Urus pula adalah 3.6 saat dan 305 km/j.

Namun seperti mana-mana jentera Porsche yang lain, kekuatan Cayenne Turbo GT bukanlah pada kelajuan garis lurus semata-mata. Aspek pengendalian turut diberikan keutamaan dan bagi tujuan ini, sistem suspensi udara yang digunakan adalah lebih rendah (-17 mm) dan lebih tegar (+ 15%), manakala ciri-ciri seperti Power Steering Plus, sistem stereng roda belakang, Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) dan Porsche Torque Vectoring (PTV) semuanya ditala untuk prestasi pengendalian yang maksimum.

Penambahbaikan ini terbukti berkesan apabila Cayenne Turbo GT yang dipandu oleh Lars Kern memecahkan rekod SUV di Nürburgring Nordschleife baru-baru ini dengan catatan masa 7 minit 38.9 saat, mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Audi RS Q8 dengan perbezaan 3.328 saat.

Previous post

Tesla Panggil Balik 285,000 Kereta Yang Dibina Di Gigafactory Shanghai

Next post

BMW 2 Series Coupe Bakal Beraksi Di Goodwood Festival Of Speed

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *